
TAWAU – DAP Sabah mengesahkan akan bertanding di kerusi Tanjung Aru dan satu lagi di kawasan Pedalaman Sabah menjadikan keseluruhan lapan kerusi yang bakal ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-17 (PRU17) Dewan Undangan (DU) Sabah.
Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin berkata, DAP turut memperkenalkan beberapa muka baharu termasuk calon wanita dan belia sejajar dengan dasar parti yang menetapkan sekurang-kurangnya satu pertiga calon wanita.
“Saya tak nak sebut di mana kawasan itu, cuma ‘hint’ dia satu kerusi itu kawasan Pedalaman dan enam lagi yang ‘incumbent’ termasuk Sri Tanjong dan Elopura kerana mereka lompat ke Warisan jadi kita mesti letak calon baharu di kawasan itu.
“Baru-baru ini pula bekas pengerusi DAP, Datuk Frankie Poon keluar parti jadi sebenarnya tiada masalah bagi kita untuk tampil dengan calon baharu,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Santuni Pekebun Kecil Sawit @ Tawau di Hotel Emas, pada Khamis.

Dalam pada itu, Chan turut menepis khabar angin kononnya calon luar akan bertanding di kawasan Tawau dan menyifatkan laporan tersebut sebagai spekulasi semata-mata selain tegas calon DAP di Tawau adalah anak jati Tawau.
Beliau turut mengulas perletakan jawatan Frankie tidak memberi kesan kepada dalaman parti khususnya di Sandakan selain berpendapat kemungkinan beliau tidak akan menyertai parti Warisan.
“Saya jangka dia mungkin akan masuk parti lain atau dia berdiri atas bebas. Cuma kesemua ini adalah hak beliau (Frankie), hak peribadi dan demokratik beliau.
“Dan kalau beliau rasa dia boleh tanding ok, tapi untuk DAP juga kita bersedia untuk teruskan bertanding dan memenangi kerusi-kerusi itu,” ujarnya.
Untuk rekod, Pada PRU DU Sabah ke-16, DAP menang enam daripada tujuh kerusi yang ditandingi iaitu Luyang, Likas, Kapayan, Sri Tanjong, Elopura dan Tanjong Papat.
Bagaimanapun, dua bekas wakil rakyat DAP dari Elopura dan Sri Tanjong menyertai Parti Warisan pada 2022 manakala Frankie pada Oktober lalu meletak jawatan daripada DAP.




