Malaysia perlu kekal terbuka, tingkat pelaburan global dalam era digital

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Malaysia dan negara anggota ASEAN supaya memperluas jaringan perdagangan serta pelaburan global, khususnya dalam sektor teknologi tinggi, bagi memperkukuh agenda transformasi digital dan pembangunan kecerdasan buatan (AI).

Menurut beliau, ASEAN kini tidak lagi terbatas dalam lingkungan Asia Tenggara semata-mata, sebaliknya telah berkembang menjadi platform antarabangsa yang turut membabitkan kuasa besar dunia seperti Kanada, Amerika Syarikat, China, Jepun, India, Brazil dan Afrika Selatan.

Katanya, Malaysia sendiri tidak boleh dilihat beroperasi dalam ruang blok sempit, sebaliknya perlu kekal terbuka dan bersaing pada skala global.

“Malaysia dan ASEAN hanya akan berjaya kalau kita tingkatkan perdagangan, pelaburan antara kita dan memberi tumpuan kepada disiplin dan bidang termasuk digital dan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2, di Cyberjaya, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Anwar menjelaskan, Malaysia perlu terus mengukuhkan jaringan dengan Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai kekuatan besar, khususnya dalam sektor eksport dan import, termasuk keperluan industri elektrik dan elektronik serta semikonduktor yang mencecah hampir RM200 bilion setahun dan membabitkan ribuan rantaian bekalan serta puluhan ribu pekerja.

Pada masa sama, katanya, hubungan baik dengan China juga perlu dimanfaatkan kerana negara itu memiliki potensi pertumbuhan yang pantas dan menakjubkan, sekali gus dapat diterjemahkan kepada peluang pelaburan baharu di Malaysia.

Beliau menegaskan, Malaysia perlu memperluas akses pasaran dengan lebih agresif supaya dapat meraih faedah daripada kedua-dua blok besar dunia itu.

Katanya lagi, dasar Malaysia tidak berpihak kepada mana-mana kuasa tertentu, sebaliknya mengutamakan prinsip kepusatan ASEAN yang menuntut negara anggota menjalin hubungan dengan semua pihak yang membawa nilai dan manfaat terhadap pembangunan ekonomi.

Menurut beliau, strategi itu bukan hanya terhad kepada AS dan China, tetapi turut meliputi pasaran Afrika serta Amerika Selatan yang mempunyai potensi besar untuk diteroka.

“Maka, kita mula menembus tembok yang membuka ruang dan itu disebabkan hubungan kita dengan Brazil dan Afrika Selatan, ini semua untuk masa depan (negara).

Negara ini adalah negara dagang dan sebagai negara dagang, kena buka ruang pelaburan yang lebih luas,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menempelak kritikan segelintir pihak terhadap pendekatan terbuka kerajaan, sambil menyifatkan mereka tidak memahami konteks keseluruhan strategi tersebut.

“Ini semua untuk masa depan (negara), tentunya dari segi politik kita kena terangkan. Baik dengan Amerika Syarikat pun salah, baik dengan China pun salah, baik dengan India pun tak betul.

“Jadi nak kena baik dengan Kelantan dan Terengganu (sahaja)? Itu pun saya baik (dengan kedua-dua negeri itu), jadi tak ada masalah,” katanya.

Related Posts

RM300,000 bina semula titian Kampung Selamat Lok Urai

PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan peruntukan khas sebanyak RM300,000 bagi membina semula titian di Kampung Selamat Lok Urai, Pulau Gaya, Sabah, susulan insiden runtuhan yang membahayakan keselamatan penduduk. Unit Komunikasi Korporat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kawalan pergerakan menteri antara langkah tangani krisis tenaga

JOHOR BAHRU – Kerajaan sedang memperhalusi langkah lebih menyeluruh bagi mengurangkan penggunaan tenaga susulan krisis bekalan global, termasuk mempertimbangkan kawalan terhadap pergerakan Jemaah Menteri serta kementerian, kata Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Royston agih insentif RM14,800 buat pelajar MRSM Mukah

Royston agih insentif RM14,800 buat pelajar MRSM Mukah

RM300,000 bina semula titian Kampung Selamat Lok Urai

RM300,000 bina semula titian Kampung Selamat Lok Urai

Kawalan pergerakan menteri antara langkah tangani krisis tenaga

Kawalan pergerakan menteri antara langkah tangani krisis tenaga

Pengurusan dana kemanusiaan perlu diperketatkan elak salah guna

Pengurusan dana kemanusiaan perlu diperketatkan elak salah guna

Kerajaan fokus tiga pendekatan hadapi gelombang kedua krisis tenaga

Kerajaan fokus tiga pendekatan hadapi gelombang kedua krisis tenaga

Golongan muda wakili 60 peratus permohonan baharu ahli UMNO

Golongan muda wakili 60 peratus permohonan baharu ahli UMNO