
MENTERI Digital, Gobind Singh Deo menolak dakwaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (PN) yang mendakwa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) boleh menjejaskan kedaulatan digital negara.
Gobind menegaskan tuduhan itu tidak berasas dan meminta wakil rakyat Pas berkenaan meneliti terlebih dahulu kandungan perjanjian tersebut sebelum mengemukakan sebarang persoalan, sambil menyarankan agar beliau bertanya soalan yang lebih ‘cerdik’.
“Saya rasa cukuplah. Saya sokong Tambun (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim), politik ada hadnya.
“Kita nak buat baik untuk negara. Jadi baca betul-betul dokumen itu dan tanya soalan cerdik. Saya boleh jawab,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Ahmad Fadhli dalam soalannya mendakwa perjanjian ART tidak mengandungi klausa khusus yang menjamin transformasi kecerdasan buatan (AI), selain menimbulkan kebimbangan bahawa Malaysia akan terikat untuk mendapatkan persetujuan AS sebelum berunding dengan negara lain.
“Adakah kerajaan benar-benar mahu menjadikan Malaysia negara AI menjelang 2030, sedangkan ada beberapa perkara dalam ART, seolah-olah memberikan kunci digital kepada negara lain dan menjadikan Malaysia sebagai makmal uji kaji?” soalnya.
Mengulas lanjut, Gobind berkata beliau bersedia bertemu Ahmad Fadhli bagi memberi penjelasan mengenai perkara itu pada bila-bila masa.
“Kita sekarang memerintah Malaysia. Kita faham kedaulatan,” katanya.
Sebelum ini, blok pembangkang turut membangkitkan dakwaan bahawa kandungan ART boleh menjejaskan kedaulatan negara.




