
GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua pintu masuk ke Semenanjung Gaza dibuka bagi membolehkan bantuan makanan disalurkan secara besar-besaran ke wilayah Palestin yang dilanda kebuluran.
Jurucakap Program Makanan Sedunia (WFP) bagi Asia Barat, Abeer Etefa berkata, program mengagihkan pek makanan kepada sejuta penduduk di Gaza perlu disegerakan dalam tempoh gencatan senjata.
Dia bagaimanapun memberi amaran bahawa usaha menyelamatkan nyawa masih perlu diperhebat.
“Ketika ini tiada ada alasan diberikan berhubung mengapa lintasan utara bersempadan dengan Israel masih ditutup,” katanya kepada wartawan di Geneva, melalui sidang media dari Kaherah.
Katanya, WFP menyasarkan untuk mencapai 1.6 juta penduduk di wilayah itu dengan pakej makanan yang dapat menampung keperluan satu keluarga selama 10 hari.
“Namun, bagi memastikan operasi mencapai tahap diperlukan, kami benar-benar memerlukan lebih banyak akses, lebih banyak lintasan sempadan dibuka dan akses ke jalan-jalan utama dalam Gaza,” tegasnya.
Gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat antara Israel dan Hamas mula berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu.
Etefa menerangkan WFP sedang mempertingkatkan operasinya di Gaza, termasuk membuka 44 daripada 145 pusat pengagihan makanan yang disasarkan.
Dianggarkan 700,000 penduduk kini menerima roti segar setiap hari, yang dibekalkan melalui 17 buah bakeri disokong WFP iaitu sembilan di selatan dan tengah Gaza, serta lapan di utara. Agensi itu menyasarkan 25 kedai roti beroperasi sepenuhnya.




