
TAWAU – Polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau memberkas dua lelaki masing-masing terbabit dalam kes rogol dan serangan seksual fizikal kanak-kanak, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan pertama dibuat ke atas suspek lelaki tempatan berumur 23 tahun kira-kira pukul 1 tengah hari pada Selasa di pekarangan Lapangan Terbang Tawau.
Beliau berkata, kejadian berlaku pada 26 Mei lalu di Batu 2 Jalan Apas apabila mangsa berumur 17 tahun yang juga seorang pelajar keluar rumah kira-kira pukul 8.30 malam dengan alasan mahu berjumpa rakan, namun sebenarnya bertemu suspek yang dikenalinya.
“Mangsa pulang ke rumah dalam keadaan trauma sebelum memaklumkan kepada ibunya bahawa dia dipaksa menaiki sebuah kereta dan diperlakukan oleh suspek ketika berada di lokasi tersebut.
“Susulan laporan yang diterima, operasi mengesan suspek dilakukan dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Sementara itu, tangkapan kedua dibuat ke atas seorang lelaki suspek warga asing dianggarkan berumur 20-an yang dipercayai bertindak menceroboh kediaman seorang suri rumah dan mencium seorang kanak-kanak perempuan yang sedang tidur.
“Mangsa berumur 11 tahun ketika sedang tidur di ruang tamu terkejut apabila menyedari suspek dalam keadaan tidak berpakaian berada di sisinya sebelum lelaki itu mencium pipi dan dahi mangsa kira-kira pukul 3 pagi.
“Mangsa terus menjerit sebaik menyedari kejadian itu dan ibunya bergegas keluar dari bilik sebelum suspek sempat melarikan diri,” katanya.
Bagaimanapun, suspek kemudian diberkas dan akan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Jasmin menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar meningkatkan kawalan keselamatan rumah serta memberi perhatian terhadap pergerakan anak-anak terutama pada waktu malam dan kawasan penempatan terbuka bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.




