
BATU PAHAT – Seorang pemandu pelancong berputih mata apabila kerugian sehingga RM163,731.85 selepas diperdaya tawaran pekerjaan sambilan yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa lelaki berusia 39 tahun sebelum itu telah berurusan dengan seorang suspek melalui aplikasi WeChat.

“Suspek menyamar sebagai ejen pekerjaan sambilan dan meminta mangsa membeli beberapa barangan melalui laman sesawang. Mangsa dijanjikan ganjaran keuntungan berlipat ganda.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu kemudian melakukan pemindahan wang ke dalam 18 akaun berbeza secara berperingkat sejak 28 Mei hingga 28 Julai lalu dengan membabitkan jumlah keseluruhan RM163,731,” katanya dalam kenyataan.
Selepas memasukkan wang, suspek meminta mangsa membuat pembayaran lain terlebih dahulu jika ingin mendapatkan keuntungan hasil pekerjaan atau pembelian barangan terbabit.
“Bagaimanapun, mangsa mulai curiga serta enggan menuruti arahan suspek. Mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu dan tampil membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam, di sini, kelmarin,” katanya.
Shahrulanuar berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai tawaran pekerjaan sambilan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan keuntungan atau komisen tinggi.




