Dr Fuziah Salleh
KUANTAN – Lebih 21 juta transaksi direkodkan menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara, dengan nilai jualan mencecah RM800 juta setakat semalam.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, pencapaian itu menunjukkan keberkesanan inisiatif diperkenalkan kerajaan bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
“Program ini (Jualan Rahmah MADANI) memberi manfaat kepada lebih 21 juta rakyat di seluruh negara dengan nilai jualan keseluruhan RM800 juta.
“Bagi negeri Pahang sahaja, sebanyak 1.15 juta transaksi direkodkan sehingga 24 Oktober dengan nilai jualan RM41.9 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Karnival KPDN 2025 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan, di sini, hari ini.
Fuziah turut melancarkan ‘Gula Rahmah’ – yang akan dijual di setiap PJRM di seluruh negara pada harga RM2.70 sekilogram.
“Melalui kempen Beli Barang Malaysia, seramai 53 usahawan tempatan terlibat dan membuka gerai jualan di sini di bawah program Jom Lokal.
“Kita juga mengadakan Karnival Kerjaya serta pameran daripada pelbagai agensi bagi memberi manfaat kepada seluruh warga Pantai Timur, khususnya di Pahang,” kata Fuziah, lapor Sinar Harian.
KPDN juga, katanya, memberi kelonggaran tambahan kuota simpanan stok barang kawalan sebanyak 30 peratus kepada pemborong berlesen sebagai persediaan menghadapi musim banjir.
“Kita menetapkan dasar supaya pemborong boleh menambah kuota simpanan stok mereka sebanyak 30 peratus.
“Langkah ini membolehkan mereka menyimpan lebih banyak barangan kawalan supaya bekalan tidak terputus sekiranya berlaku banjir dan laluan utama terjejas,” tambahnya.


