
KOTA KINABALU – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah menyeru rakyat negeri ini supaya berfikir jauh ke hadapan ketika membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Dewan Undangan Sabah dengan menilai kepimpinan yang mampu menjamin kestabilan, keharmonian dan kemakmuran Sabah untuk tempoh lima tahun akan datang.
Yang Dipertua, Mohd Zikri Zainudin berkata, rakyat perlu menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menilai calon berdasarkan prestasi dan komitmen yang telah ditunjukkan bukan sekadar retorik atau janji politik.
“ABIM Sabah berpandangan bahawa rakyat perlu memilih kepimpinan berteraskan prinsip Qawiyul Amin, Hafizun Alim pemimpin yang berilmu, amanah, berintegriti dan berani menegakkan kebenaran serta keadilan.
“Kita mahu pemimpin yang jujur tidak mengkhianati amanah, menunaikan tanggungjawab dengan penuh integriti dan memiliki kekuatan ilmu serta hikmah dalam membuat keputusan.
“Itulah pemimpin yang akan membawa Sabah ke arah masa depan yang lebih sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan media,pada Jumaat.
Zikri berkata, tanggungjawab mengundi bukan sekadar memilih calon tetapi menentukan hala tuju negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Rakyat perlu berfikir dengan tenang dan berhikmah.
“Undi kita menentukan siapa yang akan memimpin, siapa yang akan mengurus hasil negeri dan siapa yang akan membawa suara kita ke Parlimen.
“Jangan sia-siakan kuasa itu dengan emosi atau fitnah,” katanya.
Beliau turut menyeru agar semua pihak berkempen dengan adab, tidak menimbulkan kebencian atau memainkan isu agama dan kaum sebaliknya memperkukuh perpaduan dan semangat kenegaraan.
“Kekuatan Sabah terletak pada kepelbagaian kita. Kita hidup dalam masyarakat yang majmuk dan itulah rahmat yang perlu dipelihara.
“Fiqh Ta‘ayush menuntut kita saling memahami dan membina negeri ini bersama-sama bukan memecah-belahkan demi undi,” jelasnya.
Tambahnya, ABIM Sabah yakin rakyat negeri ini matang dan mampu menilai dengan hikmah calon yang benar-benar layak menggalas amanah sebagai yang berkhidmat dengan kredibiliti serta integriti.






