PENGURUS Manchester United, Ruben Amorim menegaskan pasukannya tidak boleh terlalu dibuai kemenangan sensasi ke atas Liverpool minggu lalu ketika fokus kini beralih kepada pertembungan menentang Brighton & Hove Albion di Old Trafford, malam esok.
Jurulatih dari Portugal itu kini memburu kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak mengambil alih tugas pada November lalu.
Bagaimanapun, Amorim mengingatkan skuadnya supaya kekal tenang dan tidak terlalu ghairah meraikan kemenangan itu kerana sedar keputusan di Anfield ditentukan oleh jurang yang cukup tipis.
“Kami perlu gunakan semangat positif selepas menang, tetapi fokus kami tetap pada perlawanan seterusnya.
“Itu (menewaskan Liverpool) sudah menjadi sejarah,” katanya kepada Reuters.
“Kalau (penyerang Liverpool) Cody Gakpo menyepak bola 20 sentimeter ke arah lain, mungkin keputusan sudah berbeza. Jadi saya mahu semua kekal tenang dan teruskan arah yang betul.”
Amorim mengakui tekanan mengurus kelab sebesar United sentiasa tinggi, terutama apabila keputusan tidak memihak kepada pasukan.
“Apabila anda tidak menang, sudah tentu ramai akan meragui anda. Ia normal di kelab sebesar ini,” katanya.
Mengulas mengenai lawan, Amorim mengakui kagum dengan corak permainan Brighton di bawah kendalian jurulatih muda Jerman, Fabian Hurzeler, dan menyifatkannya sebagai antara pasukan paling menyeronokkan untuk ditonton musim ini.
“Saya peminat besar cara mereka bermain. Mereka sangat intensif, berani mengawal bola dan kuat dalam setiap aspek termasuk serangan balas dan bola mati,” katanya.
“Kami perlu berwaspada dan bermain dengan tumpuan penuh kerana Brighton pasukan yang lengkap dan mampu menghukum kesilapan kecil.








