UMS bangunkan sistem rawatan air bersih bantu pelajar luar bandar di Pitas

PITAS – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar apabila berjaya membangunkan Makmal Hidup Mikro Logi Rawatan Air Bersih, yang kini membekalkan air bersih dan selamat kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongkol, Pitas.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, projek berkenaan diketuai oleh Dr Nur Zaida Zahari dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan sokongan Dana Living Lab UMS.

Katanya, projek itu melibatkan pemasangan sistem rawatan air berasaskan reka bentuk modular kejuruteraan yang memberi manfaat kepada kira-kira 180 pelajar asrama sekolah berkenaan.

“Sebelum pelaksanaan projek ini, sumber air utama sekolah dilaporkan tercemar akibat sistem kumbahan lama yang tidak berfungsi sepenuhnya, menyebabkan kandungan bakteria E. coli tinggi dan pelajar sering mengalami masalah kulit.

“Sistem yang dibangunkan bukan sahaja menapis dan merawat air, malah dilengkapi teknologi pemantauan pintar berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT) yang membolehkan kualiti air dipantau secara langsung dari kampus induk UMS di Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, audit dan lawatan penarafan terhadap makmal tersebut diketuai oleh Prof Madya Dr Fatimah Ahmedy dari Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UMS bagi menilai keberkesanan sistem rawatan serta impaknya terhadap komuniti setempat.

Dr Rosalam berkata, kejayaan projek itu merupakan manifestasi sebenar bagaimana hasil penyelidikan universiti dapat diterjemahkan menjadi manfaat kepada masyarakat.

“Projek ini membuktikan bahawa hasil penyelidikan UMS tidak terhenti di makmal, tetapi sampai kepada masyarakat yang memerlukannya,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa UMS merancang untuk menambah baik sistem tersebut menggunakan teknologi membran termaju.

Dalam masa sama, universiti itu mengalu-alukan kerjasama industri dan korporat untuk menaik taraf sistem kumbahan serta tangki septik sekolah melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Tambahnya, inisiatif berkenaan selaras dengan komitmen berterusan UMS dalam mendukung peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan mampan dan kesejahteraan komuniti luar bandar di Sabah, sejajar dengan agenda Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menurut beliau lagi, kejayaan projek tersebut turut menjadi penanda aras baharu kepada universiti awam di Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara akademia, komuniti dan industri, selain menyokong matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkasakan peranan universiti sebagai agen perubahan sosial dan inovasi lestari.

“Dengan pendekatan berasaskan penyelidikan dan teknologi hijau, UMS sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai universiti peneraju di rantau Borneo yang bukan sahaja menyalurkan ilmu, tetapi juga menyelesaikan masalah sebenar masyarakat selaras dengan aspirasi membentuk masa depan luar bandar yang lebih sejahtera dan berdaya tahan,” katanya.

Related Posts

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

KOTA KINABALU – Program Kampung (Kg) Siaga 221 yang dilaksanakan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) penting dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan komuniti kampung menghadapi kemungkinan berlakunya bencana. Menteri di Jabatan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lapan lori, kereta atas tongkang di Kuala Kedah terbakar

ALOR SETAR – Tujuh lori dan sebuah kereta terbakar dalam kejadian di atas sebuah tongkang di Jeti Kargo Kuala Kedah, dekat sini, malam semalam. Kebakaran itu melibatkan lori jenis Isuzu,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Anwar sambut baik pertemuan dengan Mufti Besar India di Keralam

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Semikonduktor lonjak kerjasama industri Malaysia-India

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Malaysia perluas pasaran Afrika menerusi kerjasama Ethiopia

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Anwar seru diplomasi, elak ketegangan berterusan di Asia Barat

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan

Jangan sekadar berkokok, kalau berani tarik sokongan