Saya tidak campur tangan dalam keputusan komersial – PMX

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa Kerajaan MADANI tidak akan sama sekali campur tangan dalam sebarang keputusan komersial.

Perdana Menteri menegaskan, ia bagi menjamin ketelusan dan profesionalisme dalam landskap korporat dan ekonomi Malaysia, di samping memastikan setiap keputusan dibuat itu mesti bersandar merit, bukan pengaruh politik.

“Saya tidak campur tangan dalam keputusan komersial, dan tidak seorang pun daripada rakan Kabinet saya yang sepatutnya campur tangan.

“Sudah tentunya kita menyokong teknologi baharu, inisiatif hijau dan program kebajikan, tetapi kita tidak campur tangan dalam melindungi kepentingan diri atau peribadi. Keputusan komersial adalah milik anda sepenuhnya,” katanya ketika sesi dialog sempena Forum Ilmu PNB 2025, pada Isnin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keberanian politik dan kesediaan menerima pandangan baru penting dalam memastikan kejelasan dasar serta kesediaan melaksanakan perubahan demi kemajuan ekonomi dan negara.

“Kita perlu rendah diri untuk mengakui bahawa kita tidak tahu semua perkara. Kita hidup dalam zaman pascanormal yang penuh kekeliruan dan kerumitan. Sebab itu penting untuk mendengar pandangan pakar dan mencari idea serta dasar baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, Malaysia perlu melakukan transformasi untuk menjamin kelangsungan, kelestarian dan peningkatan keupayaannya dari segi martabat, harakat serta darjatnya.

Perdana Menteri berkata, prasyarat penting dalam menjayakan kerangka transformasi itu adalah dengan memastikan tadbir urus dan tatakelola baik serta memperbaiki kelemahan dan kebobrokan dalaman.

“Sebagai contoh, usaha penyasaran subsidi yang dilaksana sebelum ini meraih penjimatan kepada belanja kerajaan sehingga RM15.5 bilion, yang mana dana itu akhirnya dialihkan untuk manfaat rakyat.
Penyasaran RON95 juga membolehkan kita menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM3 bilion setahun.

“Dulu kerajaan pernah beri subsidi ayam sebanyak RM1 bilion, tapi kita mansuhkan sejak dua tahun lalu kerana ia hanya menguntungkan kartel. Sekiranya negara mahu memacu pertumbuhan dan menetapkan kedudukan lebih baik, ia tidak akan berlaku dengan mengekalkan kaedah atau dasar lama.

“Ada beberapa yang positif boleh diteruskan, tapi perubahan itu penting. Ini tidak mudah dilakukan kerana kekuatan kelompok yang biasa dengan amalan lama menguntungkan mereka, peribadi, keluarga dan kroni, tentu tidak senang,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, negara perlu meneroka idea, hala tuju dan dasar baharu serta mempelajari beberapa pendekatan masa depan dari negara lain bagi meningkatkan keupayaan.

“Ada batas dan had tertentu dalam sistem sedia ada. Perkara ini perlu diambil dengan sangat serius. Apa juga ilmu atau pengalaman boleh kita pelajari perlu dikongsi dengan masyarakat.

“Apabila kita bercakap mengenai perubahan, asasnya adalah tadbir urus. Bagaimana kita mahu memahami dan melaksanakan transformasi sekiranya kita masih dibelenggu isu rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Dalam membicara isu transformasi dan kecerdasan buatan (AI), Anwar berkata, usaha mendidik masyarakat melalui konsep Celik MADANI perlu dipertingkat bagi memastikan rakyat memahami asas kepentingan pelaburan dan simpanan.

“Perbincangan mengenai AI dan digital tidak boleh dipisahkan daripada isu ketersambungan. Persoalannya ialah, adakah akses digital menyeluruh dapat dijamin untuk kawasan bandar utama berbanding kawasan luar bandar dan kelompok miskin bandar yang mungkin masih ketinggalan dari segi kemudahan dan capaian internet,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan, tidak wajar bagi kerajaan mengenakan cukai tambahan kepada rakyat jika hasil kutipan semasa tidak diuruskan dengan berhemah, manakala ketirisan besar terus berlaku.

“Mengapa kita perlu mengenakan cukai sedangkan hasil dikutip selama ini belum dibelanjakan dengan baik? Mengapa perlu kita beranggapan hasil yang dikutip itu dibelanjakan dengan sempurna dan tiada kebocoran,” katanya.

Related Posts

Kurangkan beban pengamal media, sidang media mingguan dilaksana hibrid – Fahmi

GOMBAK – Sidang media mingguan Jurucakap Kerajaan Perpaduan akan dilaksanakan secara hibrid demi mengurangkan bebanan kepada pengamal media susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan krisis tenaga global kini. Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bantuan asas, penempatan sementara segera dilaksana buat mangsa kebakaran Sandakan – PM

KERAJAAN Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah sedang menyelaraskan bantuan asas dan penempatan sementara secepat mungkin untuk mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

3 maut ditembak dalam restoran

3 maut ditembak dalam restoran

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16