
KOTA KINABALU – Hubungan diplomatik Malaysia–China bukan sekadar berpaksikan kerjasama ekonomi, tetapi turut diperkukuh melalui pertukaran budaya dan nilai kemanusiaan yang dikongsi bersama.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew, dialog Peradaban Konfusian–Islam yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi platform penting bagi mempertemukan dua peradaban agung dunia yang menekankan nilai harmoni, keadilan dan ilmu pengetahuan.
“Dialog ini bukan sekadar wacana akademik, tetapi satu usaha memperkukuh jalinan kefahaman dan persahabatan antara rakyat dua negara.
“Nilai-nilai yang terkandung dalam peradaban Konfusian dan Islam mampu membimbing kita ke arah keamanan dan toleransi sejagat,” katanya sempena dialog tersebut di sini pada Selasa.

Menurut Christina, Presiden China, Xi Jinping dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini turut menekankan kepentingan meneruskan Dialog Peradaban Konfusian–Islam serta mempererat hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
“Dalam suasana dunia yang berdepan pelbagai cabaran seperti salah faham, polarisasi dan perpecahan, usaha membina ‘jambatan dialog’ amat penting bagi mengelakkan tembok pemisah yang boleh menggugat keharmonian global,” ujarnya.
Christina berkata, Sabah berperanan besar sebagai negeri yang merealisasikan semangat dialog tersebut kerana sejak berabad lamanya negeri itu telah menjadi persinggahan pedagang dan sarjana dari China, dunia Arab serta India.
“Sabah kini dihuni lebih 30 kumpulan etnik dan lebih 200 subetnik yang hidup dalam keharmonian.
“Ini bukti bahawa kepelbagaian budaya yang disemai dengan rasa saling menghormati menjadi sumber kekuatan dan ketahanan masyarakat,” jelasnya.
Tambahnya, Sabah berbangga menjadi tuan rumah kepada Dialog Peradaban Konfusian–Islam yang turut disertai delegasi dari Universiti Minzu China dan Yayasan Pemuliharaan Warisan Budaya China, dengan kerjasama Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu.
Christina turut menyambut baik minat Yayasan Pemuliharaan Warisan Budaya China untuk bekerjasama dengan Sabah dalam bidang pemeliharaan warisan.
Menurutnya, kementeriannya komited memastikan warisan budaya terus dipelihara dan dimanfaatkan sebagai sumber pendidikan serta tarikan pelancongan.
“Budaya ialah jiwa sesebuah bangsa. Dalam era globalisasi, kita tidak boleh membiarkan warisan ini hilang ditelan masa sebaliknya perlu dipelihara, dipelajari dan dikongsi dengan dunia,” ujarnya.
Christina turut menegaskan bahawa hubungan erat Malaysia–China yang terjalin sejak berabad lamanya kini semakin kukuh melalui kerjasama moden dalam bidang ekonomi, pelancongan, pendidikan dan kebudayaan.
Beliau berkata, China kini antara penyumbang utama pelancong antarabangsa ke Sabah, manakala pelbagai program pertukaran budaya, penyelidikan dan pemuliharaan warisan turut berkembang pesat.
“Dialog ini melambangkan kesinambungan hubungan itu bukan hanya pada aspek ekonomi, tetapi juga dalam membina kefahaman dan persahabatan yang berkekalan antara rakyat,” jelasnya lagi.







