
KOTA KINABALU – Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah menegaskan bahawa kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Persekutuan tidak bermaksud Sabah dipegang oleh parti dari Semenanjung.
“Bukan semestinya kita bersama dengan Kerajaan Persekutuan bahawa kita telah dipegang oleh Persekutuan, tidak. Itu terpulang daripada rakyat.
“Rakyat menentukan, kalau kita memegang kuat, maknanya kita kuat.
“Tetapi kalau rakyat sebaliknya sendiri mahu pecah rumah sendiri, apa boleh buat, kita pun tidak memaksa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad.
Yun Fah turut berkata bahawa perjuangan GRS bukan untuk memenuhi agenda politik luar, sebaliknya berpaksikan semangat kenegerian Sabah yang mahu melihat rakyat terus sejahtera dan negeri ini terus berdikari.
“Kita bukan ikut parti Malaya. Kita masih anak Sabah, kad pengenalan kita masih anak Sabah. Kita mati dan hidup pun anak Sabah.
“Itu sejak pandangan saya,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, GRS kekal sebagai gabungan tempatan yang memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah dan setiap keputusan politik perlu dibuat berdasarkan semangat anak watan yang mahu melihat negeri ini terus maju dan stabil.
Justeru, Yun Fah turut menyeru agar rakyat Sabah bersatu hati dan memberi peluang kepada kerajaan GRS untuk terus memperkukuh pentadbiran negeri serta melaksanakan agenda pembangunan yang telah dirancang.
“Sepatutnya rakyat dan media semua di depan saya tolonglah, tolong bagilah peluang kepada kerajaan GRS pastikan kita boleh memegang Sabah dengan kuatnya,” ujarnya.






