
KOTA KINABALU – Rakyat Sabah tidak seharusnya terus terpedaya dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ atau ‘parti tempatan’ yang sering dijadikan umpan politik oleh parti-parti tempatan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Kalau benar mereka perjuangkan hak Sabah, mengapa wujud begitu banyak parti tempatan tetapi tidak satu pun mampu bersatu?
“Hakikatnya mudah semua mahu berkuasa bukan berkhidmat,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Jelas Bung, sehingga kini sekurang-kurangnya 10 parti tempatan Sabah yang diiktiraf secara sah pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) namun masing-masing berebut kerusi dan pengaruh.
“Ini bukan perjuangan rakyat, ini perebutan kuasa.
“Kita sudah lihat bagaimana kerajaan GRS yang kononnya ‘parti tempatan’ gagal membela rakyat, malah dibelenggu video yang mencemarkan integriti pentadbiran negeri.
“Slogan Sabah for Sabahan dan parti tempatan akhirnya hanya jadi perisai untuk menutup kelemahan dan tamak kuasa,” jelasnya.
Bung berkata, UMNO dan BN Sabah berpendirian tegas bahawa Sabah tidak perlu 10 parti untuk perjuangkan Sabah tetapi hanya perlukan satu halatuju yang jujur, stabil dan berpaksikan rakyat.





