
SIPITANG – Inisiatif NADI on Wheels (NOW) kini diperluas ke Sabah dengan pelancaran unit keempat yang dilengkapi peranti satelit Starlink berkelajuan tinggi sehingga 250 Mbps, komputer riba, tablet, projektor, tenaga solar mudah alih serta sistem wi-fi percuma.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, NOW yang ditempatkan di NADI Pekan Sindumin ini merupakan NOW yang pertama di Sabah dan keempat di Malaysia.
“Kita sebelum ini telah ada dua NOW di Semenanjung, satu di Sarawak dan ini yang keempat di Sabah,” katanya dalam sidang media selepas majlis Peluncuran NOW Peringkat Negeri Sabah di NADI Pekan Sindumin, di sini pada Rabu.

Jelasnya, kemudahan bergerak itu memberi peluang kepada masyarakat luar bandar untuk belajar dan memanfaatkan perkhidmatan digital yang disediakan di bawah program NADI.
Tambahnya, kementerian berhasrat untuk menambah jumlah NOW di seluruh negara namun pelaksanaannya akan dibuat secara berfasa bagi memastikan setiap kawasan menerima manfaat secara optimum.
Tedahulu, Fahmi berkesempatan ke Sekolah Kebangsaan Sindumin untuk hadir ke Program Kempen Internet Selamat yang bertujuan memperkukuh literasi digital dan membentuk budaya penggunaan internet yang selamat serta bertanggungjawab dalam kalangan pelajar.






