
SHAH ALAM – Pelajar lelaki berusia 14 tahun yang disyaki menikam seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Petaling Jaya, semalam direman tujuh hari sehingga 21 Oktober depan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan dijalankan secara menyeluruh meliputi rakaman keterangan saksi-saksi kejadian, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta penilaian latar belakang kedua-dua pelajar terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pagi ini.
Dalam pada itu, Shazeli berkata, setakat ini sebanyak 57 rakaman percakapan saksi telah direkodkan melibatkan pelajar, guru, ahli keluarga serta wakil kaunselor sekolah.

“Siasatan awal mendapati tiada pihak ketiga terlibat, dan hasil siasatan juga menunjukkan suspek dan mangsa tidak mempunyai sebarang hubungan sebelum kejadian.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif sebenar insiden tragik berkenaan ,” katanya.
Sementara itu, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan, dua senjata yang dirampas dan digunakan suspek dalam kejadian itu dipercayai dibeli menerusi platform dalam talian.
“Pisau serta kerambit berkenaan dibeli secara dalam talian. Siasatan mendapati hanya pisau digunakan untuk menikam mangsa ketika kejadian, manakala kerambit tidak digunakan.
“Selain itu, berdasarkan siasatan, keluarga suspek tidak mengetahui mengenai senjata yang dimiliki suspek itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Katanya, polis kini masih menyemak tempoh suspek memiliki senjata berkenaan.
“Setakat ini, kita hanya mendapati kaedah pembelian senjata itu, namun sejak bila suspek memilikinya masih dalam siasatan lanjut.
“Semakan turut mendapati tiada pemeriksaan dilakukan terhadap beg-beg pelajar sebelum memasuki sekolah berkenaan sebelum ini,” katanya.



