
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa hasil penjimatan kerajaan melalui tadbir urus yang baik dan langkah membanteras ketirisan membolehkan lebih banyak manfaat disalurkan kepada rakyat tanpa perlu menaikkan cukai.
Beliau berkata, pendekatan pentadbiran yang menumpukan kepada kecekapan pengurusan dan pembanterasan rasuah membolehkan sumber negara digunakan secara optimum, seterusnya mengurangkan beban rakyat dalam jangka panjang.
“Jadi, sebelum kita fikirkan soal cukai kerana kadang-kadang ia membebankan rakyat, kita harus betulkan dulu kesilapan pentadbiran kita.
“Kita harus fikir soal kerja kita dan sistem kita warisi yang sekarang ini kita tadbir… adakah ia cekap, dapat kawal ketirisan, kawal rasuah atau penyeludupan,” katanya pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Anwar berkata, jika kerajaan dapat mengekalkan momentum pengurangan perbelanjaan sebanyak sekurang-kurangnya RM10 bilion setahun, jumlah penjimatan dalam tempoh 10 tahun boleh mencecah RM100 bilion dan digunakan untuk pembangunan sektor penting.
“Dalam masa dua tahun, kita (Kerajaan MADANI) selamatkan RM15.5 bilion… itu yang dapat dikesan, bayangkan yang tidak dikesan… jadi, kalau RM100 bilion dalam 10 tahun yang kita dapat ini… bayangkan universiti, pendidikan, klinik, sekolah dan kemudahan untuk anak-anak kita.
“Begitu banyak kemudahan dan kemungkinan untuk naik martabat negara kita sebagai negara yang betul kuat dan hebat,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan Belanjawan 2026 yang memperuntukkan sebanyak RM470 bilion, dengan memberi penekanan kepada daya tahan ekonomi dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Belanjawan bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat itu mengoptimumkan sumber negara termasuk dana daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), badan berkanun Persekutuan dan syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) melalui perbelanjaan awam.
Jumlah perbelanjaan bagi Belanjawan 2026 adalah sebanyak RM470 bilion berbanding RM452 bilion pada tahun sebelumnya, merangkumi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus Persekutuan, RM81 bilion perbelanjaan pembangunan Persekutuan, RM30 bilion pelaburan GLIC, RM10 bilion pelaburan awam-swasta dan RM10.8 bilion pelaburan badan berkanun serta syarikat MKD.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perancangan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan sumber negara dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.







