
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan agensi penguat kuasa bebas mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dengan rasuah, termasuk orang kenamaan.
Beliau menegaskan, kerajaan akan memberi sokongan penuh kepada badan penguat kuasa yang bertindak tegas terhadap perasuah demi menyelamatkan negara daripada gejala itu.
“Saya sedar ada kebimbangan dalam kalangan penguat kuasa, terutama bila kes melibatkan orang kenamaan. Tapi kalau ada bukti dan tiada unsur penganiayaan, ambillah tindakan dengan tegas dan segera. Saya akan pertahankan mereka sepenuhnya,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Oktober 2025, di sini, pada Isnin.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Anwar turut menegaskan usaha membanteras rasuah bukan hanya tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata.
Katanya, ketua jabatan juga perlu memainkan peranan penting dan tidak boleh melindungi pegawai yang terlibat dalam rasuah.
“Kalau ketua jabatan tahu dan melindungi orang bawahannya yang rasuah, kita tak boleh pertahankan ketua itu. Tanggungjawab mesti dipikul bersama,” katanya.
Anwar menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh integriti dan ketelusan dalam pentadbiran negara, sambil menekankan perjuangan membanteras rasuah memerlukan keberanian, kejujuran dan tanggungjawab bersama di semua peringkat perkhidmatan awam.
Beliau berharap semangat baharu dalam kalangan penjawat awam akan menjadi pemangkin kepada pentadbiran yang lebih bersih dan cekap demi memastikan Malaysia terus melangkah maju sebagai negara yang bebas rasuah.







