CREATOR: gd-jpeg v1.0 (using IJG JPEG v62), default quality?
PUTRAJAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menghargai dan memuji dasar di samping arah reformasi fiskal serta tadbir urus yang diketengahkan Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2026.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, perkara itu merupakan bukti nyata bahawa Malaysia mampu berubah daripada dalam, berasaskan integriti, kecekapan dan akauntabiliti tanpa perlu bergantung kepada kuasa luar.
Menurut beliau, peruntukan RM25 juta kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) bagi memperkukuh pendigitalan urusan rakyat sebagai langkah strategik yang akan mengurangkan ruang rasuah kecil dan mempercepat sistem penyampaian kerajaan secara telus serta mudah dikesan.
“Kejayaan STAR yang melaksanakan lebih 1,000 pembaharuan tanpa melibatkan perunding luar membuktikan keupayaan sebenar perkhidmatan awam. Kejayaan menjimatkan RM1.1 bilion kos pematuhan serta peningkatan 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia.
“Perkara itu menunjukkan reformasi dalaman mampu menghasilkan impak besar terhadap kecekapan, ketelusan dan keyakinan pelabur,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.

Sementara itu, Jais berkata, MCW menyokong penuh cadangan kerajaan memberikan potongan cukai kepada penderma yang menyumbang kepada program pencegahan rasuah anjuran badan bukan kerqjaan (NGO) diiktiraf SPRM.
Katanya, inisiatif itu adalah pengiktirafan terhadap peranan masyarakat sivil sebagai rakan strategik kerajaan dalam membina budaya integriti nasional.
“Ia juga menjadi pemangkin kepada pendekatan ‘whole-of-society’ di mana rakyat, sektor swasta dan kerajaan bersama memerangi rasuah.
“Namun, MCW menegaskan bahawa pelaksanaan dasar ini perlu disertai garis panduan, audit dan pemantauan telus bagi mengelakkan salah guna. Hanya NGO yang diiktiraf dan diaudit wajar menerima kelayakan tersebut,” katanya.


