IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan meminggirkan sektor sukan meskipun pelbagai usaha pembangunan lain sedang digerakkan di seluruh negara.
Menurutnya, tumpuan terhadap pembangunan sukan bukan sekadar untuk melahirkan atlet berdisiplin dan berdaya saing, tetapi juga berperanan besar dalam memperkukuh semangat perpaduan rakyat berbilang kaum.
“Semestinya saya dan Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) akan memberi perhatian kepada bidang sukan serta membantu setakat yang termampu.
“Sama ada usaha kecil mahupun besar, kami akan cuba lakukan yang terbaik.
“Negara mesti maju bukan sahaja dari segi ekonomi, budaya dan intelek, tetapi juga dari segi sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2025 Peringkat Kebangsaan di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; serta Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Terdahulu, Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Sukan Untuk Semua kepada lapan penerima, dengan tokoh persilatan, Datuk Dr Raja Abdul Majid Raja Mat Isa, diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Perdana Menteri.
Bertemakan ‘Malaysia Aktif’, sambutan HSN 2025 berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Oktober dengan pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi untuk semua peringkat umur.
Lebih 40 acara utama di peringkat kebangsaan dan ratusan aktiviti di peringkat negeri serta daerah turut dianjurkan, dengan sasaran penyertaan 5.2 juta rakyat Malaysia.
Antara aktiviti menarik termasuk Larian Ria MADANI, berbasikal, pickleball, stacking, pound, dan senamrobik.
Anwar dalam pada itu menzahirkan penghargaan kepada golongan muda yang aktif menyumbang dalam bidang sukan, sambil menegaskan bahawa penyertaan mereka menjadi pemangkin kepada pembentukan disiplin, semangat dan perpaduan negara.




