
DATUK Dr Asyraf Dusuki menyambut baik Belanjawan 2026 yang membuktikan Kerajaan MADANI tidak meminggirkan peranan MARA dalam agenda pembangunan negara.
Pengerusi MARA itu berkata, ucapan Belanjawan 2026 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam jelas menunjukkan keyakinan kerajaan untuk menjayakan pelbagai agenda yang dirancang oleh MARA untuk rakyat.
“8 kali PMX sebut nama MARA sepanjang ucapan Bajet beliau tadi meliputi agenda Bumiputera, keusahawanan, TVET, pendidikan, Tahfiz, Pekerja Gig. Besar sungguh harapan negara dan rakyat kepada MARA.
“RM6 bilion diperuntukkan untuk pendidikan Bumiputera melalui MARA, Yayasan Peneraju dan UiTM. MARA melalui GiatMARA juga diberikan amanah untuk memprofesionalkan golongan Huffaz melalui ekosistem pendidikan MARA.
“RM50 juta diperuntukkan oleh kerajaan kepada MARA untuk menaik-taraf 363 premis-premis perniagaan MARA seluruh negara termasuk Arked MARA; ada yang telah berusia lebih 40 tahun,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Belanjawan 2026 yang dibentang semalam menyaksikan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6 bilion kepada MARA bagi memperkasa pendidikan Bumiputera melalui MARA, Yayasan Peneraju dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Belanjawan MADANI 2026.
“Alhamdulillah, nampaknya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan kerajaan hari ini semakin meyakini komitmen serta kualiti ekosistem MARA. Besar sungguh harapan negara dan rakyat kepada MARA,” katanya.




