
ERA pascanormal kini menuntut pendekatan baharu dalam merangka dasar dan pelaksanaan belanjawan negara yang bukan sahaja bersifat menyeluruh, tetapi juga difahami rakyat dalam konteks kehidupan seharian, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop.
Ismail berkata, dalam menghadapi cabaran semasa seperti ketidaktentuan ekonomi global, perubahan iklim serta perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), kerajaan perlu memastikan strategi komunikasi dan pelaksanaan dasar mampu diterjemah dalam bentuk yang mudah difahami rakyat.
“Ada yang mengatakan teknologi AI ini boleh membawa pembaharuan, tetapi dalam masa sama juga boleh membawa bencana. Inilah antara cabaran besar dalam era pascanormal,” katanya dalam podcast Minda Tok Abah pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cabaran semasa menjelang pembentangan Belanjawan 2026
Ismail berkata, latar belakang Belanjawan 2026 berasaskan kerangka Malaysia MADANI yang menekankan kejelasan terhadap bidang tumpuan dan hasil dasar kerajaan agar lebih jelas dilihat oleh rakyat.
Beliau menegaskan, tumpuan utama bukan semata-mata terhadap apa yang ingin disampaikan kerajaan melalui belanjawan, tetapi juga bagaimana mesej dan harapan rakyat dapat dijelmakan dalam bentuk komunikasi yang jelas serta mudah difahami.
“Kalau tidak, dasar yang baik pun akan dilihat sama sahaja seperti sebelumnya. Sebab itu komunikasi yang strategik sangat penting supaya rakyat nampak maksud dan manfaatnya,” ujarnya.
Mengulas mengenai aspek semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen, beliau mengimbau pendekatan ketika era reformasi yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ketika itu, setiap kali kerajaan membentangkan belanjawan, pihak pembangkang juga akan mengemukakan belanjawan alternatif. Ini membolehkan rakyat membuat perbandingan antara dasar kerajaan dengan cadangan pihak lain.
“Sinergi antara kedua-dua pihak ini menunjukkan semangat semak dan imbang yang sebenar dalam konteks demokrasi berparlimen,” katanya.
Jelasnya, prinsip ini wajar diteruskan bagi memastikan dasar dan perancangan kerajaan sentiasa berpaksikan kepada kepentingan rakyat serta dapat menyesuaikan diri dengan cabaran baharu dalam era pascanormal.








