PROGRAM BUDI95 yang dilaksanakan Kerajaan MADANI bukanlah dasar kecil yang wajar dipandang enteng.
Ia merupakan salah satu reformasi fiskal terbesar dalam sejarah pengurusan subsidi negara, dengan dua matlamat besar yang sangat jelas — meringankan beban rakyat dan mengelakkan ketirisan subsidi minyak.
Dua tujuan ini bukan sahaja bertepatan dengan realiti semasa ekonomi negara, malah ia adalah langkah berani untuk memastikan wang rakyat dibelanjakan seadilnya.
Tidak ada rakyat yang berhak dinafikan bantuan asalkan mereka layak, dan tidak ada pula pihak tidak layak yang sepatutnya terus mengaut subsidi yang bukan milik mereka.
Malangnya, dalam suasana politik yang penuh dengan permainan persepsi, ada pihak yang cuba mengalih tumpuan rakyat dengan membesarkan hal-hal kecil dan remeh.
Kononnya sistem tergendala, IC tertinggal, atau pendaftaran lambat dilayan. Semua ini dijadikan modal untuk menggambarkan seolah-olah program BUDI95 gagal dan menyusahkan rakyat.
Hakikatnya, ini hanyalah gangguan teknikal kecil yang sentiasa berlaku dalam mana-mana sistem baharu.
Persoalannya, adakah wajar isu-isu sampingan sebegini dijadikan senjata untuk melemahkan keyakinan rakyat terhadap dasar besar yang manfaatnya jauh lebih besar?
Mengapa agenda utama kerajaan — iaitu memastikan subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar layak — sengaja disorok di sebalik naratif remeh yang sengaja direka-reka?
Lebih mengecewakan, ada juga pihak yang bersungguh-sungguh memutar belit fakta. Mereka tahu bahawa selama ini subsidi minyak telah banyak dinikmati golongan berpendapatan tinggi dan juga warga asing, namun tetap memilih untuk menutup mata.
Mereka lebih selesa memainkan sentimen “susah rakyat” tanpa mahu berlaku jujur tentang bagaimana subsidi sebenarnya bocor dan dibazirkan bertahun-tahun lamanya.
Kerajaan MADANI melalui BUDI95 telah pun menetapkan mekanisme yang lebih telus, tersasar terus kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang benar-benar memerlukan.
Langkah ini bukan sahaja meringankan beban hidup rakyat, malah ia menutup ruang manipulasi subsidi oleh pihak yang tidak sepatutnya menikmatinya.
Itu sebenarnya inti pati perjuangan — melindungi rakyat, melindungi negara, dan melindungi duit pembayar cukai daripada terus dibazirkan.
Oleh itu, rakyat wajar melihat BUDI95 dengan pandangan yang lebih luas. Jangan biarkan agenda besar ini dipadamkan dengan naratif sempit dan isu teknikal kecil yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.
Dalam sebarang pelaksanaan dasar berskala besar, pasti ada cabaran awal. Tetapi cabaran itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menolak kebaikan yang jauh lebih besar.
Ringkasnya, BUDI95 adalah langkah berani Kerajaan MADANI untuk menstruktur semula subsidi minyak agar lebih adil dan berkesan.
Apa yang perlu diberi perhatian ialah matlamat besar ini — mengurangkan beban rakyat dan menghapuskan ketirisan subsidi.
Jangan sesekali kita benarkan agenda penting ini diputar belit dengan hal-hal remeh yang hanya menguntungkan pihak yang tidak mahu melihat negara bergerak ke arah pembaharuan sebenar.





