
KOTA KINABALU – Kinabatangan kini secara rasmi diiktiraf sebagai Rizab Biosfera kedua di Sabah oleh UNESCO, mengukuhkan lagi status negeri ini sebagai peneraju pemuliharaan alam sekitar bertaraf dunia.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengiktirafan berprestij di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB) UNESCO itu adalah satu pencapaian penting dalam usaha memelihara biodiversiti dan kelestarian alam sekitar negeri setelah pengumuman rasmi dibuat semasa Sesi ke-37 Majlis Penyelarasan Antarabangsa Program MAB (ICC) yang berlangsung pada 27 September lalu di Hangzhou, China.
“Pengiktirafan ini merupakan satu kejayaan yang besar bagi Sabah di peringkat global dalam usaha berterusan untuk kita memelihara alam sekitar dan kekayaan biodiversiti,” katanya dalam kenyataan media di sini, pada Selasa.

Menurut Hajiji, status antarabangsa ini bukan sahaja meningkatkan profil Kinabatangan sebagai kawasan pemuliharaan bertaraf dunia, malah dijangka menarik minat global dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi serta membuka ruang kerjasama antarabangsa.
“Sabah akan terus memperkukuh inisiatif pemuliharaan biodiversiti, memperluaskan program kesedaran komuniti dan mempertingkatkan kerjasama strategik pelbagai pihak supaya manfaat pengiktirafan ini dapat dinikmati secara meluas dan mampan,” jelasnya.
Sebelum ini, Jemaah Menteri Negeri Sabah meluluskan pencalonan Kinabatangan sebagai Rizab Biosfera pada 30 Mac 2022, dan dokumen pencalonan tersebut kemudian disahkan oleh UNESCO pada 7 Ogos 2024.
Tambahnya, proses penilaian selama hampir dua tahun diketuai oleh Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) dengan sokongan pelbagai kementerian, jabatan kerajaan, NGO, industri serta komuniti tempatan.
“Kinabatangan kini menjadi Rizab Biosfera kedua di Sabah dan keempat di Malaysia yang meliputi kawasan seluas 413,866 hektar serta merentasi 560 kilometer sepanjang Sungai Kinabatangan merupakan salah satu lembangan sungai dengan biodiversiti terkaya di Asia Tenggara,” ujarnya.
Sementara itu, UNESCO turut memuji kualiti pencalonan dan penglibatan meluas pelbagai pihak dalam proses rundingan yang berlangsung selama 22 bulan.
Selain nilai ekologi, pengiktirafan ini turut menyokong usaha pemeliharaan warisan budaya tempatan, termasuk dialek Sungai yang kini disenaraikan sebagai ‘Sangat Terancam’ dalam Atlas Bahasa Dunia yang Terancam UNESCO.





