KUANTAN – Seorang suri rumah berusia 51 tahun dari Bentong kerugian RM223,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan yang dibuat semalam, mangsa menerima panggilan daripada suspek pada 15 September lalu dan menawarkan peluang pelaburan menjanjikan kadar pulangan tinggi.
Katanya, tertarik dengan tawaran itu, mangsa memberikan maklumat peribadi sebelum diarah memuat turun aplikasi mudah alih melalui pautan dihantar suspek.
“Selepas itu, mangsa melakukan 12 transaksi kewangan kepada tujuh akaun bank yang keseluruhannya berjumlah RM223,000.
“Wang itu adalah daripada simpanan peribadi dan peninggalan mendiang suami.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas dimaklumkan oleh pihak bank bahawa akaun penerima adalah akaun dikenal pasti terbabit sindiket penipuan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kes itu, Yahaya menasihati orang ramai berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat terutama yang dipromosikan melalui media sosial.
Katanya, sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my untuk mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.





