
SANDAKAN – Seorang lelaki berusia 31 tahun cedera parah selepas lori baja yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori minyak di Jalan Sakilan Desa, Batu 21 Sandakan, pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada pukul 2.46 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bersama dua sebuah jentera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 34 kilometer dari BBP Sandakan.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati seorang lelaki tersepit di bahagian tempat duduk lori baja.
“Anggota bomba bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 7.35 pagi dalam keadaan cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.

Tambahnya, mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.46 pagi






