
KOTA KINABALU – Malaysia menyatakan komitmen untuk memperkasa Ekonomi Biru sebagai pemacu pertumbuhan mampan dan inklusif di peringkat nasional serta serantau menerusi pengumuman Blueprint Ekonomi Biru Malaysia yang sedang dirangka.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, Ekonomi Biru bukan sahaja penting untuk pembangunan ekonomi, tetapi juga berperanan dalam merapatkan jurang pembangunan, memperkasakan komuniti pesisir dan pulau, serta memastikan keterangkuman dan kelestarian alam sekitar di seluruh rantau ini.
“Ramai komuniti pesisir dan pulau di ASEAN bergantung sepenuhnya kepada lautan. Menerusi perikanan mampan, ekopelancongan, pengurusan berasaskan komuniti dan pembangunan kemahiran, inisiatif Ekonomi Biru boleh mengangkat komuniti tempatan, memperkasakan perniagaan kecil dan memacu pertumbuhan yang lebih saksama.
“Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pelan pembangunan lima tahun yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf Ekonomi Biru sebagai salah satu keutamaan negara dalam usaha Malaysia menuju status negara maju.
“RMK13 merangkumi pelbagai strategi termasuk pengukuhan tadbir urus kawasan pantai dan marin, pembangunan industri strategik seperti akuakultur, tenaga boleh baharu dari laut, dan perkapalan hijau, di samping pemeliharaan biodiversiti marin melalui kawasan perlindungan dan pengurusan komuniti,” beliau berucap semasa Forum Ekonomi Biru ASEAN Ketiga (3rd ASEAN Blue Economy Forum), di sini, pada Isnin.

Tambahnya, strategi ini membina kesinambungan daripada RMK12 dan akan memperkukuh transformasi Malaysia ke arah model pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan.
Sementara itu, Hanifah turut menyeru negara-negara ASEAN untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang seperti pelancongan mampan, perkapalan hijau, pengurusan perikanan, dan inovasi pembiayaan biru seperti bon biru, pembiayaan campuran dan mekanisme kredit karbon.
“Lautan yang mengelilingi kita tidak mengenal sempadan dan begitu juga usaha kita untuk melindunginya.
“ASEAN mempunyai peluang unik untuk menerajui model Ekonomi Biru yang berdaya tahan, mampan dan inklusif,” kata beliau.
Hanifah berkata, forum yang berlangsung ini diharap menjadi titik tolak kepada kerjasama konkrit antara negara-negara ASEAN dalam memastikan Ekonomi Biru bukan sekadar wacana, tetapi realiti transformasi untuk generasi akan datang.
“Biarlah forum ini menjadi pemangkin yang mengubah dialog kepada tindakan dan kerjasama kepada impak yang nyata,” ujarnya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Malaysia kini dalam proses merangka Blueprint Ekonomi Biru Malaysia sebuah kerangka dasar menyeluruh yang bertujuan menyelaraskan polisi, strategi dan pelaburan merentas sektor berkaitan lautan dan pesisir.
Justeru itu, blueprint ini dijangka menjadi model pelaksanaan di peringkat nasional yang akan melengkapi Kerangka Ekonomi Biru ASEAN, sekali gus menyumbang kepada aspirasi serantau.
Forum Ekonomi Biru ASEAN ini menghimpunkan pemimpin serantau, pakar industri dan wakil komuniti bagi membincangkan dasar dan amalan terbaik dalam mengurus serta memanfaatkan sumber lautan secara lestari.






