Anwar minta agensi bawah KPKM tingkat kerjasama

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diperkukuh demi memastikan masalah dihadapi petani serta nelayan diselesaikan dengan lebih berkesan.

Perdana Menteri berkata, masalah membelenggu golongan itu tidak dapat ditangani satu agensi sahaja sebaliknya memerlukan pendekatan bersepadu merangkumi pelbagai pihak.

“Penyelesaian masalah petani ini bukan sahaja dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), mesti dengan Jabatan Pertanian, mesti dengan LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) dan mana-mana kaedah serta badan dan agensi yang boleh menyelaras.

“Apa yang dilakukan FAMA dan Kementerian Pertanian itu penting kerana bila harga terjamin, kita boleh tekankan supaya pengeluaran bertambah,” katanya, lapor Bernama.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Pasar Tani Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Presint 4 di sini, hari ini.

Anwar juga mahu KPKM dan agensi di bawahnya sentiasa berfikir di luar kotak untuk mencari kaedah baharu bagi meningkatkan pengeluaran serta pemasaran produk.

Beliau memberi contoh inisiatif penanaman bawang untuk menampung permintaan dalam negara dan pemerkasaan pemasaran durian yang kini menjana pendapatan eksport berbilion ringgit.

“Sebab itu saya kata, sentiasa memikirkan kaedah baharu… hari ini, kita secara khusus bicara soal pemasaran, kalau betul nak tolong petani, nelayan kecil maka pertamanya, minta hasil ditambah, dan menjamin harga yang munasabah… dan ini peranan FAMA, maknanya ambillah langkah apa pun yang perlu,” katanya.

Perdana Menteri turut menyarankan agar rakyat Malaysia memanfaatkan tanah di ruang kediaman masing-masing bagi tujuan pertanian kecil-kecilan sebagai usaha mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan kebergantungan kepada hasil pasaran.

Menyingkap pengalaman sendiri ketika pandemik COVID-19, Anwar berkata, beliau menanam nanas, pisang, betik serta sayur-sayuran di kediamannya di Segambut dan Sungai Long.

Mengulas mengenai sambutan hari ini, Perdana Menteri berkata, konsep pasar tani diwujudkan ketika beliau menjadi Menteri Pertanian susulan masalah dihadapi petani ketika itu yang terpaksa berdepan orang tengah sehingga menyebabkan hasil jualan tidak berbaloi.

Beliau berkata, produk dibawa para petani pada hari itu habis terjual kerana harganya lebih murah berikutan kos pengangkutan ditanggung oleh FAMA, lokasi disediakan Kementerian Pertanian dan pembeli pula adalah kakitangan di Wisma Tani.

Anwar berkata, selepas itu, pasar tani mula dikembangkan ke tempat lain dan sehingga kini, ia telah diwujudkan di 229 lokasi di seluruh negara dengan penyertaan 5,618 usahawan.

Related Posts

Malaysia anjur DSA dan NATSEC 2026, himpun 1,456 syarikat global

KUALA LUMPUR – Lebih 1,456 syarikat dari 63 buah negara menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 bermula esok hingga Khamis ini. Menteri Pertahanan,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Iran tarik diri pameran DSA 2026

KUALA LUMPUR – Iran menyatakan hasrat menarik diri pada saat akhir daripada menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan National Security Asia (NATSEC Asia) 2026. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

3 maut ditembak dalam restoran

3 maut ditembak dalam restoran

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16