
KOTA KINABALU – Seramai 20 graduan Kimanis Petroleum Training Centre (KTC) berjaya memperoleh pekerjaan sejurus menamatkan pengajian Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Instrumentasi Perindustrian dan Sistem Kawalan.
Mereka memperoleh pekerjaan di beberapa syarikat seperti Turcomp Engineering Services Sdn Bhd, Transwater Engineering Sdn Bhd, Kimanis Power Plant, SGS Malaysia Sdn. Bhd, Petrotechnical dan Atto Precision.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kejayaan itu membuktikan keberkesanan program pengajian dan latihan yang disediakan oleh KTC selaras dengan kehendak dan keperluan semasa industri khususnya dalam sektor minyak dan gas yang sentiasa menuntut standard kemahiran yang tinggi.
Katanya, sektor minyak dan gas kekal menjadi tonggak pembangunan ekonomi negara khususnya di Sabah dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Selaras dengan perkembangan global, industri ini kini berdepan dengan cabaran baharu, termasuk transformasi digital, peralihan kepada tenaga hijau, dan peningkatan standard keselamatan.
“Cabaran-cabaran ini menuntut tenaga kerja yang mahir, berpengetahuan dan berintegriti tinggi yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pesat serta menyumbang kepada kelestarian dan daya saing industri.
“Di sinilah graduan KTC memainkan peranan yang amat penting dimana dengan latihan teknikal dan vokasional atau TVET yang komprehensif, pengalaman praktikal di bengkel dan industri, serta pendedahan kepada standard keselamatan terkini, mereka mampu bersedia menghadapi cabaran tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen 2025 Kimanis Petroleum Training Centre, di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Arifin turut menyatakan penghargaan kepada Petronas yang terus menyokong pembangunan belia Sabah melalui Program VISTA yang kini dipertingkatkan sebagai VISTA i-Plus.
Katanya, inisiatif ini menunjukkan komitmen Petronas dalam membangunkan modal insan yang berkualiti tinggi, bersedia menghadapi cabaran global dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.



