
LAHAD DATU – Suasana Masjid Nur Takzim, Kampung Batu 13 Jalan Jeroco pada Ahad bertukar meriah apabila penduduk kampung berhimpun beramai-ramai bagi meraikan Majlis Maulidur Rasul 1447H/2025M sebagai simbolik kesatuan hati dan syiar Islam yang terus subur.
Majlis yang bermula selepas solat Maghrib itu dipenuhi dengan pengisian rohani termasuk alunan qasidah memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta ceramah agama bertajuk ‘Rasulullah Rahmat Sekalian Alam’ yang disampaikan Ustaz Tajuddin Yunus.
Pengerusi Masjid Nur Takzim, Mohammad Saramu Adamu berkata, majlis berkenaan bukan sahaja memperingati kelahiran Nabi SAW, malah menjadi medan mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama penduduk kampung.
“Melalui program seperti ini, kita dapat menyemai rasa cinta kepada Rasulullah SAW, mengajak masyarakat kembali menghayati sirah Baginda.
“Dalam masa sama, ia secara tidak langsung memperkukuh ukhuwah Islamiah,” katanya kepada The Malaysia Press, pada Ahad.

Seorang penduduk kampung, Jumahir Amin menyifatkan penganjuran majlis Maulidur Rasul di kampung itu sebagai usaha yang mendidik hati sambil menyatukan masyarakat dalam suasana harmoni.
“Bila kita berkumpul begini, rasa kebersamaan itu kuat, bukan sahaja kita mendengar ceramah, tetapi kita dapat saling bertegur sapa dan eratkan hubungan jiran tetangga,” ujarnya.
Pada majlis itu, penilaian bunga telur turut diadakan sebagai simbolik kemeriahan serta tradisi yang mengakar dalam komuniti Melayu-Islam.





