
KOTA KINABALU – Seramai 2,956 penduduk daripada 824 keluarga masih terjejas akibat banjir di Sabah sehingga pukul 8 pagi Rabu, dengan 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di enam daerah terlibat.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, daerah yang terjejas ialah Beaufort, Penampang, Tawau, Membakut, Papar dan Putatan dengan jumlah keseluruhan 108 kampung.
Penampang mencatatkan peningkatan mangsa dengan 809 orang daripada 220 keluarga membabitkan 24 kampung, manakala Beaufort merekodkan 281 orang daripada 89 keluarga dengan 46 kampung terjejas.
Selain itu, Membakut turut menempatkan 931 penduduk daripada 277 keluarga, Papar seramai 317 mangsa daripada 87 keluarga, Putatan 559 orang daripada 140 keluarga, manakala Tawau kekal 59 mangsa daripada 11 keluarga.
Sehingga kini, angka korban kekal 13 orang sejak banjir dan tanah runtuh melanda beberapa daerah di negeri ini sejak 8 September lalu.
JPBN Sabah dalam kenyataan berkata, pemantauan serta operasi pemindahan terus dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, daerah Sipitang turut diisyitharkan bencana banjir oleh Pegawai Daerah merangkap Pengerusi JPBD, Abd Karim A.M Zahari pada pukul 8 pagi pada Rabu.








