BUTTERWORTH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Hari Malaysia bukan sekadar memperingati pembentukan negara.
Sebaliknya, kata PMX, ia menjadi simbol kebangkitan baharu apabila rakyat bersatu tanpa mengira kaum untuk membina ekonomi mapan serta menolak sebarang bentuk penjajahan asing.
Menurut beliau, kemerdekaan bererti menolak penderaan dan penghinaan kuasa asing yang pernah menjerat bangsa ini, sama ada dari segi politik, ekonomi, budaya mahupun sistem sosial.
“Leluhur kita menentang penjajah kerana tidak sanggup maruah dan pemikiran bangsa diragut.
“Hari ini semangat itu mesti diterjemahkan dalam perjuangan menolak penguasaan ekonomi asing yang boleh melemahkan kedaulatan negara,” katanya.
Beliau menegaskan, sejarah kejatuhan empayar besar seperti Melaka menjadi pengajaran.
Kelemahan tatakelola dan campur tangan luar, jelasnya, hanya membawa kepada kehancuran.
Jelas Anwar lagi, dunia kini penuh cabaran dengan kuasa besar sering menggunakan pengaruh untuk menekan negara kecil.
Justeru katanya, perpaduan rakyat pelbagai kaum adalah benteng utama bagi memastikan Malaysia terus berdaulat.
“Ekonomi negara mesti digerakkan berasaskan tatakelola baik serta nilai akhlak mulia agar kita tidak mengulangi kesilapan warisan penjajah yang merugikan,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan kejayaan negeri seperti Johor yang kini muncul sebagai peneraju industri elektrik dan elektronik, Sarawak sebagai hab tenaga hijau ASEAN serta Sabah yang dijangka mencatat pertumbuhan tinggi adalah bukti dasar kerajaan mantap mampu melonjakkan negara.
Katanya, Malaysia perlu melangkah ke hadapan sebagai negara berkemajuan tinggi dengan kekuatan akhlak dan rahmah.
Beliau menambah, kemerdekaan yang diraih mesti terus terpelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.







