PULAU PINANG – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sambutan Hari Malaysia 2025 di Pulau Pinang malam ini disifatkan sebagai manifestasi semangat perpaduan rakyat berbilang kaum.
Beliau berkata, tarikh 16 September bukan sahaja mengingatkan rakyat kepada pembentukan Malaysia pada tahun 1963, malah menjadi simbol penyatuan Sabah, Sarawak dan Semenanjung dalam membina negara berdaulat serta sejahtera.
“Pulau Pinang sendiri adalah cerminan hidup perpaduan. Di Street of Harmony, kita lihat masjid, kuil dan gereja berdiri bersebelahan – membuktikan keharmonian kaum dan agama di Malaysia bukan sekadar slogan, tetapi realiti,” katanya ketika berucap pada sambutan peringkat kebangsaan di sini.
Fahmi menambah, pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah sambutan tahun ini menggambarkan hasrat Kerajaan MADANI untuk menjadikan sambutan kebangsaan lebih inklusif, merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan memperluas akses digital rakyat. Katanya, melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) MADANI, rakyat termasuk di kawasan luar bandar akan mendapat manfaat daripada internet berkelajuan tinggi, latihan literasi digital dan peluang ekonomi dalam talian.
“Setakat ini, sebanyak 42 pusat NADI MADANI diwujudkan di Pulau Pinang, termasuk di Penanti yang saya rasmikan baru-baru ini,” jelasnya.
Menyentuh soal keselamatan siber, Fahmi berkata kerajaan melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ancaman digital seperti penipuan dalam talian, perjudian siber, buli, kandungan penderaan seksual kanak-kanak serta penyalahgunaan media sosial oleh pengguna bawah umur.
“Marilah kita memainkan peranan bersama membina ruang digital yang positif, menyebarkan kisah kejayaan dan nilai murni yang menyatukan, bukan memecahbelahkan,” katanya.
Majlis sambutan itu dihadiri ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat, melambangkan semangat patriotisme yang segar selepas sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Putrajaya, dua minggu lalu.


