KUANTAN – Kampung Sepat, dekat sini, dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata, pemilihan kampung itu adalah bagi merancakkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan.
“Inisiatif di bawah Kerajaan MADANI ini bertujuan membangunkan agro-pelancongan, termasuk menghidupkan semula penanaman padi yang membabitkan 88 pengusaha sawah di kampung ini.
“Selain itu, kawasan pantai yang landai dan panjang dijangka akan menjadi pusat tarikan pelancongan utama di daerah Kuantan,” katanya.
Fuziah berkata demikian ketika merasmikan Jualan Rahmah Mega dan Karnival Hari Malaysia di sini, semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif; Ketua PKR Cabang Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi dan Ketua Wanita UMNO Kuantan, Datuk Zaiton Mat.
Dalam ucapan sama, beliau memaklumkan Kerajaan MADANI memperuntukkan RM600 juta bagi menjayakan program Jualan Rahmah di seluruh negara.
“Menerusi program ini, hasrat kerajaan meringankan beban rakyat… kos sara hidupan bulanan mereka, berjaya dicapai,” tambahnya.
Dalam program sama, seramai 127 ketua keluarga menerima zakat wakalah RM250 dan bakul makanan bernilai RM100.






