
SIKAP Pas yang tergamak menangguk di air keruh berkaitan isu Kampung Sungai Baru sehingga mengelirukan orang ramai amat dikesali.
Pemerhati politik Raggie Jessy Rithaudeen berkata, Pas menerusi Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari telah memutarbelitkan isu itu yang mengaitkannya dengan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang perbahasannya ditangguhkan di Dewan Rakyat sebelum ini.
Menurut Raggie, isu pengambilalihan tanah di Kampung Sungai Baru telah menggunakan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) pada 21 Jun 2021.
“Pada zaman 2020 hingga hujung 2022 Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah dengan dua Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Ismail Sabri Yaakob.
“Menteri Wilayah Persekutuan pun ada dua iaitu Tan Sri Annuar Musa yang kemudiannya diganti oleh Datuk Seri Shahidan Kassim. Seksyen 8 akta ini membolehkan kerajaan mengambil alih tanah terus tanpa lagi persetujuan semua pemilik.
“Satu lagi putar belit yang sedang dimainkan Pas ketika ini ialah kalau ada URA (RUU PSB) tak adil sebab 80 peratus sahaja penghuni perlu dapatkan persetujuan, tak adil yang 20 peratus tidak setuju itu terpaksa juga ikut.
“Itu putar belit dan sebenarnya sekarang memang boleh dan paksa untuk melakukan pengambilan tanah menggunakan Seksyen 8 dan ia sudah berlaku sejak dulu dan ia berlaku di bawah pentadbiran kerajaan PN pimpinan Muhyiddin, ia telah digunakan yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk terus mengambil alih tanah tanpa persetujuan semua pemilik,” katanya di saluran Youtube.

Terdahulu, Fadhli dalam kenyataannya berkata, Pas jmengingatkan rakyat Malaysia bahawa apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru ini adalah gambaran awal atau ‘teaser’ sekiranya RUU PSB dilaksanakan kelak. Tanpa budi bicara, pemaju diberi kuasa penuh, dan rakyat berisiko dihalau dari kediaman mereka sendiri.
Raggie menegaskan, sikap Pas yang menggambarkan RUU PSB sebagai satu ancaman kepada rakyat adalah tidak benar sama sekali kerana undang-undang APT 1960 sedia ada ini jelas membenarkan kerajaan mengambil alih tanah secara paksa tanpa persetujuan semua pemilik tanah.
“Hari ni Pas cakap kalau RUU PSB ada keadaan menjadi teruk pemaju ada kuasa untuk halau dan sebagainya. Ini putar belit yang cukup besar. Tidak bertanggungjawab dan ada unsur penipuan oleh Pas.
“Kemudian Muhyiddin pula menegaskan beliau tidak terlibat, menafikan Kabinet PN membuat keputusan terus. Apa yang dia cakap ini sedangkan ia berlaku di bawah pentadbiran beliau dan keputusan Kabinet di bawah tanggungjawab dipikul oleh Perdana Menteri.
Raggie menambah, Pas perlu berhenti menipu penyokong sendiri dan hentikan putar belitkan kenyataan yang berkait dengan RUU PSB kerana terbukti apa yang terjadi di Kampung Sungai Baru sama sekali tidak ada kena mengena dangan akta tersebut.
“Pas kata RUU PSB ini tidak bagus. Kalau tempat itu baru 30 tahun kemudian selepas itu tempat itu boleh dibangunkan semula. RUU PSB pula tetapkan 80 peratus persetujuan sahaja yang perlu bukan 100 peratus, maknanya yang 20 peratus tak setuju terpaksa ikut. Ini jahat!
“Kemudian Pas kata ini taktik halus untuk usir orang Melayu. Punya jahat kenyataan mereka walhal contoh di Kampung Sungai Baru itu yang sebenarnya menggunakan akta pengambilalihan tanah yang sedia ada dan paksa pemilik untuk serah tanah.
“Maknanya akta itu memang ada sekarang, tiada kaitan dengan RUU PSB pun dan memang sudah boleh sekarang dan Pas pernah lakukan ketika mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan PN dahulu,” katanya.
Justeru, Raggie menegaskan, RUU PSB adalah lebih baik daripada akta yang sedia ada kerana kerajaan akan terikat dengan RUU PSB yang tidak boleh mengambil alih tanah secara terus dan paksa tanpa perbincangan dengan pemilik.
“Selain itu RUU PSB sekurang-kurangnya ada tempoh minimum sebelum 30 tahun tidak boleh diambil alih tanah untuk dimaju. Ada nilai ambang dan kerajaan tidak boleh kacau dan terikat dengan RUU PSB.
“Mana lebih baik? Jelas RUU PSB yang kerajaan sekarang ini mahu ia dimaktubkan adalah lebih baik untuk rakyat berbanding dengan undang-undang sedia ada. Jika kerajaan mahu melakukan yang baik untuk rakyat tetapi Pas nak tunjukkan kepada rakyat setiap apa jua kerajaan buat bermotifkan jahat sebenarnya Pas yang jahat,” katanya.







