
KOTA KINABALU – Peguam mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akan membawa seorang pakar psikologi dari Kuala Lumpur minggu depan bagi membantu prosiding inkues dengan menjalankan penilaian terhadap keadaan mental arwah.
Shahlan Jufri, peguam yang mewakili Noraidah Lamat berkata, pakar itu akan menjalankan tugasnya termasuk membuat profiling Zara berdasarkan bahan bukti dan temu bual dengan pihak berkaitan.
“Dijangkakan minggu depan pakar kami, seorang psikologi, akan tiba di Kota Kinabalu untuk menjalankan kerja-kerja yang sepatutnya.
“Beliau dari Kuala Lumpur, tetapi saya tidak boleh dedahkan nama kerana beliau mementingkan privasi.
“Tetapi bila tiba masanya nanti, saya percaya media akan tahu siapa saksi ini,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding di Mahkamah Koroner, pada Khamis.

Menurut Shahlan, pakar itu dijangka menemu bual ibu arwah, rakan-rakan sekolah rendah dan menengah, guru-guru serta meneliti buku-buku termasuk diari yang dikemukakan sebagai barang kes.
Semasa menjawab soalan media, beliau berkata, pakar tersebut membuat profiling Zara, secara common practice dengan melihat keseluruhan latar belakang termasuk interaksi sosial dan catatan peribadi, bagi menentukan keadaan mental Zara.

