
KOTA KINABALU – Persiapan sedang giat dijalankan bagi Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2025 yang akan berlangsung di Padang Merdeka pada 16 September ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri, berkata selain persembahan hiburan, cabutan bertuah untuk orang ramai juga akan diadakan dengan hadiah menarik menanti pemenang.
“Hadiah termasuk telefon pintar, set televisyen, peralatan elektrik, basikal, penginapan hotel dan baucar bufet.
“Selain itu, minuman Milo percuma, aiskrim dan belon juga akan diberikan kepada kanak-kanak, ditaja oleh syarikat-syarikat yang bermurah hati,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat akhir pada Selasa.
Dalam mesyuarat itu, beliau menerima laporan mengenai perkembangan persiapan daripada Setiausaha Jawatankuasa, Datuk Josie Lai, yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS).
Ketua 14 Jawatankuasa Kecil yang diberikan tanggungjawab masing-masing turut membentangkan laporan mereka.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin, dijangka hadir menyerikan sambutan.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap II KePKAS, Datin Dr Cleopatra Asing; Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Sabah, Mackey Apison; Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah, Thonny Chee; ACP Sabarudin dan DSP Lee Nyuk Kim dari Kontinjen Polis Sabah; Pencetak Kerajaan, Liew Chern Wei; Pengarah Hal Ehwal Korporat DBKK, Rosie Inus Molukun; Ketua Bahagian Media & Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan, Dr Diana Dominic; serta Penolong Pengarah Kanan RTM Sabah, Aris Arapa (Program TV).





