
KOTA KINABALU – Peguam bela mewakili tertuduh yang terbabit dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir, Datuk Ram Singh, mendedahkan bahawa beliau menerima ugutan susulan prosiding inkues yang sedang berlangsung.
Menurutnya, perkara itu dilaporkan kepada polis dan siasatan kini dijalankan, termasuk pengesanan nombor telefon yang digunakan untuk menghantar ugutan berkenaan.
“Saya sendiri juga menerima ugutan. Dalam kes saya, polis sedang menyiasat.
“Mereka sudah mengesan nombor telefon yang digunakan. Jadi biarkan polis teruskan siasatan.
“Tetapi kami tetap berada di sini. Sama ada dengan ugutan atau tanpa ugutan, kami tetap di sini untuk mendedahkan kebenaran,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding inkues di Mahkamah Koroner, di sini, pada Isnin.
Beliau juga menyokong kenyataan Peguam Negara Persekutuan bahawa perlu ada perlindungan kepada mereka yang terlibat dalam kes ini, termasuk pasukan guaman serta media.
“Bercakap soal ugutan dan semua perkara ini, saya bersetuju dengan kenyataan Peguam Negara bahawa perlindungan patut diberi kepada pihak yang benar-benar terlibat dalam kes ini, termasuk kami dan media,” katanya.
Sementara itu, berdasarkan prosiding pada Isnin, beliau percaya dokumen yang diperiksa adalah milik arwah.
“Itu yang kami katakan. Tetapi saya tidak pasti sama ada perlu disebutkan namanya atau tidak.
“Namun, pakar setakat ini menyatakan bahawa spesimen itu mempunyai persamaan ciri yang ketara,” katanya.






