
PUTRAJAYA – Wujud kelompangan besar menerusi Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan (JRKIP) yang ditubuhkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menangani isu keselamatan murid di sekolah dan asrama.
Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berpandangan, setakat ini tiada pakar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) yang dilantik dalam senarai ahli JRKIP.
Menurut beliau, ketiadaan kepakaran OSH dalam JRKIP itu memberi kesan serius apabila aspek teknikal keselamatan diabaikan sekali gus penubuhan jawatankuasa tersebut dilihat hanya langkah kosmetik semata-mata.
“Jawatankuasa itu sepatutnya turut melibatkan pakar OSH sama ada daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH); Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) atau profesional OSH seperti pegawai keselamatan dan kesihatan (SHO); doktor perubatan terlatih (OHD) serta industrial hygienist.
“Arahan supaya nazir sekolah melaksanakan audit keselamatan setiap minggu yang disifatkan menimbulkan kekeliruan, meskipun golongan itu merupakan pegawai berpengalaman, namun kepakaran mereka adalah dalam bidang pendidikan, kurikulum dan pentadbiran, bukannya OSH,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ahmad Fakhrul menegaskan, tanpa pengetahuan teknikal keselamatan pekerjaan, laporan audit yang dihasilkan berisiko menjadi umum, tidak tepat dan gagal menyentuh isu kritikal.
“Ia seolah-olah arahan rambang yang tidak disokong oleh kemahiran yang sesuai.
Akibatnya, masalah sebenar keselamatan fizikal sekolah iaitu dari sistem elektrik hingga keselamatan makmal mungkin terus tidak ditangani secara tuntas,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fakhrul Anuar mendakwa pihaknya sudah beberapa kali cuba membangkitkan perkara tersebut kepada KPM termasuk dengan menghantar surat rasmi, namun tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga kini.
Sambil melahirkan rasa kecewa, beliau turut mempersoalkan sama ada keengganan KPM untuk mendengar pandangan pakar OSH itu disebabkan ego atau beranggapan isu keselamatan sekolah belum benar-benar serius.
“Jika keadaan ini berterusan, reformasi keselamatan sekolah akan gagal kerana pendekatan yang eksklusif, tangkap muat dan tidak berpaksikan profesionalisme OSH. Justeru, MSOSH menyeru KPM untuk membuka ruang penyertaan kepada pakar OSH dalam jawatankuasa tersebut.
“Ini kerana, hanya dengan gabungan kebajikan, pendidikan, undang-undang dan teknikal OSH, keselamatan sekolah boleh dijamin secara menyeluruh, bukan sekadar reaksi selepas tragedi, tetapi sebagai budaya berterusan demi masa depan anak-anak negara Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Ketua Jemaah Nazir mengerah semua anggotanya bagi menjalankan audit keselamatan sekolah dengan laporan perlu dikemukakan setiap minggu.
Langkah itu diambil sebagai antara inisiatif untuk memperkukuhkan aspek keselamatan di sekolah dan asrama sekolah, susulan insiden membabitkan pelajar di institusi pendidikan berkenaan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, laporan audit berkenaan perlu dikemukakan kepada beliau setiap minggu.



