KUANTAN – Penganjuran sukan rakyat serentak di tiga tanah rancangan dalam kawasan Jerantut berjaya menarik penyertaan lebih 2,000 warga peneroka.
Pelbagai acara sukan tradisional diadakan di FELDA Jengka 10,FELDA Sungai Tekam dan FELDA Kota Gelanggi 1, semalam.
Bertujuan mengeratkan hubungan antara warga peneroka, program sukan rakyat di FELDA Jengka 1 dirasmikan wakil Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Datuk Rozilan Salleh.
Seramai 1,000 peserta mengambil bahagian dalam pelbagai acara di situ.
Begitu juga di FELDA Sungai Tekam, kira-kira 1,000 warga peneroka pelbagai peringkat menyertai sukan tradisional yang disediakan pihak penganjur.
![]()
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud pula diberi tanggungjawab sebagai perasmi untuk acara sukan rakyat peringkat FELDA Kota Gelanggi 1, dekat Jerantut.
Razak berkata, antara acara paling mencuri tumpuan adalah sukan boling buah kelapa, tarik tali dan lari dalam guni.
“Kita mahu menghidupkan semula kemeriahan sukan rakyat atau sukan tradisional supaya dapat dinikmati golongan muda,” katanya.
Penganjuran sukan rakyat kali ini disifatkan sebagai antara acara paling ramai disertai warga peneroka sekitar wilayah Jengka dan Jerantut.




