
MIRI – Polis Miri berjaya menahan dua lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM234,750 dalam beberapa siri serbuan sekitar daerah ini pada 29 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan dilakukan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Miri antara jam 3 petang hingga 7 malam.
Dalam operasi pertama, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di sebuah restoran di Senadin, Miri, dan polis menemui dadah jenis ketamin seberat 1.25 gram. Penahanan itu membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek berusia 28 tahun di kawasan berhampiran.
“Dengan panduan suspek kedua, polis menyerbu sebuah premis perniagaan di Riam, Miri dan berjaya merampas dadah disyaki methamphetamine seberat 5.5 kilogram. Serbuan susulan di sebuah rumah dua tingkat di Tudan, Miri pula menemukan dadah jenis MDMA (3,4-methylenedioxymethamphetamine) seberat 804.25 gram,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
“Secara keseluruhan, rampasan membabitkan 1.25 gram ketamin, 5.5 kilogram methamphetamine dan 804.25 gram MDMA dengan nilai keseluruhan RM234,750. Turut disita sebuah kenderaan bernilai RM10,000,” katanya.
Menurutnya lagi, jumlah dadah yang dirampas itu mampu menjejaskan sehingga 30,181 individu sekiranya terlepas ke pasaran.
Selain itu, ujarnya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah, dengan suspek pertama positif ketamin manakala suspek kedua positif methamphetamine.
Menurut beliau, suspek pertama mempunyai satu rekod lampau berkaitan narkotik, manakala suspek kedua tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan. Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta sama.Kedua-dua suspek kini direman enam hari sehingga 5 September bagi membantu siasatan lanjut.
Foto: Facebook Polis Daerah Miri


