
PELABUR tempatan terus menjadi benteng kukuh Bursa Malaysia meskipun aliran keluar dana asing berlarutan selama lapan minggu berturut-turut, dengan jumlah RM1.41 bilion direkodkan pada minggu lalu.
Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob berkata, tindakan pelabur institusi dan runcit tempatan membeli serta menyokong syarikat negara membuktikan keyakinan rakyat terhadap pasaran masih kukuh walaupun ditekan oleh penjualan besar-besaran dana asing.
“Fenomena ini jelas apabila asing jual, rakyat beli. Ketika modal global keluar, kepercayaan tempatan tetap kekal,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada pelabur luar yang hanya menjadikan pasaran tempatan sebagai persinggahan untuk mengejar keuntungan jangka pendek.
Katanya, rakyat Malaysia sendiri yang konsisten memainkan peranan penting dalam memastikan pasaran terus berdaya tahan.
“Kestabilan politik bukan hanya untuk meyakinkan dana asing, sebaliknya yang lebih utama ialah menjamin keyakinan rakyat terhadap negara.
“Ekonomi berteraskan rakyat lebih kukuh daripada ekonomi yang bergantung kepada ‘wang panas’ asing,” ujarnya.
Menurut Ahmad Nadhir lagi, walaupun modal asing melarikan diri, pelabur tempatan kekal sebagai tonggak utama yang menghidupkan Bursa Malaysia.
“Selagi rakyat percaya dan bersama, ekonomi negara tidak akan tumbang dengan permainan dana global,” katanya.





