
KOTA KINABALU – Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah memandang serius terhadap penularan hantaran media sosial yang bersifat menghina, berunsur fitnah, palsu serta mengelirukan berkaitan dengan Tuan Yang Terutama di-Pertua Negeri Sabah (TYT Sabah).
Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh berkata, hantaran tersebut adalah tidak berasas, tidak tepat dan boleh menjejaskan keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap institusi TYT.
“Walaupun kebebasan bersuara diiktiraf dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan, ia haruslah dipraktiskan secara bertanggungjawab.
“Penyebaran maklumat yang menghina, direka atau mengelirukan bukan sahaja menjejaskan keyakinan awam, malah boleh dianggap sebagai kesalahan serius di bawah Undang-Undang Malaysia, iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1949 serta Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.
Jelas Brenddon, Jabatan itu menegaskan kepentingan memelihara martabat dan integriti TYT Sabah sebagai sebuah institusi yang amat dihormati sebagai lambang perpaduan, kesinambungan dan kedaulatan.
Katanya, Jabatan ini kekal komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang disamping menggalakkan dialog yang membina, saling menghormati serta penyebaran maklumat yang tepat.
“Dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Persekutuan, jawatan TYT Sabah merupakan bahagian penting dalam kerangka Perlembagaan Negara.
“Istana Seri Kinabalu melambangkan warisan sejarah dan nilai negeri Sabah yang kita cintai yang memerlukan penghormatan sepenuhnya di mata masyarakat.
“Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk melindungi martabat serta kehormatan TYT Sabah sebagai sebuah institusi yang mulia,” katanya.
Sehubungan itu, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah menyeru rakyat negeri ini untuk bersama-sama membudayakan nilai kejujuran, integriti dan akauntabiliti dalam semua bentuk komunikasi.
“Orang ramai juga digesa untuk mendapatkan maklumat melalui sumber yang rasmi, sahih dan yang boleh dipercayai sebelum menyebarkannya secara dalam talian.
“Penggunaan media sosial secara bertanggungjawab juga penting untuk mengekalkan ruang awam yang beradab dan berinformasi di samping mengambil tindakan undang-undang sekiranya perlu untuk menangani penyebaran fitnah yang disengajakan serta demi memelihara ketenteraman dan keharmonian di negeri Sabah,” tegasnya.





