
TAWAU – Seorang bekas pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) berumur 20 tahun dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Tawau pada Khamis selepas didapati bersalah membunuh rakan mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di asrama kolej berkenaan, Mac tahun lepas.
Mahkamah turut memerintahkan 12 lagi pelajar KVLD di bawah umur yang turut didapati bersalah membunuh Nazmie untuk dipenjara sehingga mendapat perkenan Yang Di-Pertua Negeri Sabah mengikut seksyen 97(2) (b) Akta Kanak-kanak 2001.
Hakim Datuk Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu pada prosiding penentuan selepas mendengar laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mengambil kira faktor-faktor termasuk umur tertuduh.
Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim menyatakan bahawa kes buli di sekolah telah lama wujud dan kes ini bukti bahawa buli memusnahkan masa depan anak-anak dan harapan ibu bapa.
“Kes ini menjadi peringatan menyedihkan bahawa buli bukanlah perkara remeh kerana ia memusnahkan kehidupan, meragut masa depan anak-anak dan menghancurkan harapan ibu bapa.
“Ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan harapan mereka mendapat pendidikan dan masa depan yang lebih baik namun ada yang pulang dan ada yang tidak pulang langsung. Perkara ini mesti dihentikan.
“Tiada siapa sepatutnya berasa tidak selamat di sekolah atau asrama dan tiada keluarga patut menanggung tragedi sebegini,” katanya.

Terdahulu, pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif memohon agar hukuman setimpal ke atas tertuduh yang berbentuk peringatan, pengajaran dan kepentingan awam.
Pada 22 Mac tahun lepas, Mohamad Nazmie Aizzat ditemui tidak sedarkan diri di sebuah bilik asrama di Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) sebelum 13 pelajar direman untuk siasatan.
Mahkamah Tinggi pada Februari tahun ini kemudian memerintahkan 13 remaja berkenaan untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di KVLD antara pukul 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Pada 22 Ogos, Hakim Datuk Duncan Sikodol dalam Mahkamah Tinggi mendapati semua 13 tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.





