KUALA NERANG – Keluhan penduduk Padang Terap mengenai sewa ambulans swasta yang mahal untuk ke hospital Alor Setar kini mendapat perhatian dari Persatuan Anak Muda MADANI Kedah.
Menurut Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata , pihaknya sangat simpati dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk Padang Terap terutamanya untuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Katanya, pihaknya tersentuh kerana kebanyakan penduduk di situ bekerja sebagai petani dan penoreh.
“Idea itu tercetus selepas mesyuarat khas bersama masyarakat setempat yang mengadu kos menyewa perkhidmatan ambulans terlalu tinggi dan membebankan golongan berpendapatan rendah.
“Ramai orang kampung rasa serba salah bila nak panggil ambulans, sebab takut nak bayar. Ada kes kalau perlu ke Pulau Pinang, caj boleh cecah RM600, ke Kuala Lumpur pula sampai RM1,000. Itu memang terlalu berat untuk mereka.
“Jadi kita putuskan buat perkhidmatan ini dengan caj paling minimum iaitu hanya RM5 pergi dan RM5 balik, tak kisah jauh mana pun, ke Johor pun kita caj RM10,” katanya ketika ditemui di Kampung Musa, Pedu di sini, hari ini.
Zuraidi mengakui, meskipun hospital dan klinik kerajaan menyediakan ambulans, jumlahnya masih tidak mencukupi terutama di kawasan pedalaman Padang Terap.
Menurutnya, ambulans komuniti itu beroperasi 24 jam sehari lengkap dengan doktor, jururawat, pembantu perubatan (MA) dan pemandu yang bersedia memberi khidmat kecemasan bila-bila masa.
“Kalau ada kecemasan tengah malam, orang kampung boleh terus hubungi hotline yang kita sediakan. Kita cuba susun supaya semua keperluan dapat dilayan sebaik mungkin.
“Kadang-kadang bila ambulans sedia ada digunakan untuk kes lain, pesakit lain terpaksa tunggu lama. Jadi inisiatif ini kita buat untuk pastikan orang kampung ada pilihan segera, tanpa rasa terbeban dengan kos,” katanya.
Beliau menyifatkan projek ini sebagai tanggungjawab sosial pihaknya dan bukti keprihatinan terhadap masyarakat kampung yang memerlukan.
“Kadang-kadang ada yang sakit lumpuh dan tulang belakang, pesakit seperti ini tak sesuai dibawa dengan kereta, mereka pula tak mampu sewa ambulans untuk pergi temujanji di hospital akhirnya mereka tak dapat rawatan yang sepatutnya.
“Kalau kita mampu mudahkan urusan orang kampung walaupun dengan cara kecil macam ini, itu sudah cukup besar nilainya. Saya harap ambulans RM10 ini jadi penyelamat dan memberi sinar baharu kepada masyarakat Padang Terap,” katanya.





