
KERAJAAN Persekutuan bersetuju melunaskan bayaran pampasan tanah Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan yang tertangguh lebih sedekad, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam selepas isu berkenaan berlarutan sejak sekian lama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam, ada berita baik untuk Negeri Sembilan. Ada masalah berpanjangan, bertahun-tahun antara Kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan mengenai bayaran pampasan tanah di Gemas, berpuluh tahun dah.
“Kerajaan MADANI semalam putuskan mesti selesai. Mana patut bayar, bayar balik kepada Negeri Sembilan,” katanya ketika merasmikan Program MADANI Rakyat di Dataran Nilai, pada Sabtu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau dalam nada berseloroh turut meminta Kerajaan Negeri mempertimbangkan potongan terhadap jumlah yang perlu dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.
Terdahulu ini, Kerajaan Negeri Sembilan dilaporkan menawarkan opsyen kepada Kerajaan Persekutuan untuk melunaskan bayaran premium pemberimilikan tanah secara hak milik tetap di kawasan kem berkenaan secara ansuran.
Isu tanah berkeluasan 6,653 hektar itu berlarutan sejak 2014, membabitkan tiga lot tanah iaitu Parcel H, Parcel J dan Parcel L, dengan nilai premium asal berjumlah RM2.162 bilion.
Bagaimanapun, Parcel J yang diwartakan sebagai kawasan Military Firing Ground sejak 1941 dikecualikan daripada bayaran, sekali gus mengurangkan jumlah pampasan kepada RM1.272 bilion.
Aminuddin sebelum ini menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri berhadapan isu bersama Kementerian Pertahanan mengenai bayaran tanah untuk Pusat Latihan Gabungan Pasukan Tempur di kem berkenaan.
Beliau berkata, hasil perbincangan pada Jun 2022, kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk mengecualikan kawasan Military Firing Ground J seluas 2,737.55 hektar yang digunakan sejak sebelum merdeka, sekali gus menurunkan premium yang perlu dibayar kepada RM1.27 bilion.


