
KUDAT – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah menganiaya mana-mana pegawai atau Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi kerajaan negeri yang dilantik semasa era parti Warisan.
Beliau berkata, ketika mula dilantik sebagai Ketua Menteri kira-kira lima tahun lalu, beliau meminta mereka terus berkhidmat berbeza dengan Warisan yang lebih banyak mencantas, berdendam dan menekan mereka yang tidak sehaluan sepanjang lebih dua tahun memerintah.
“Apabila mereka (Warisan) ambil kerajaan, bukan mereka fikir rakyat, tapi mereka cantas, dendam dan tekan orang.
“Saya jadi Ketua Menteri hampir lima tahun, saya tidak pernah aniaya satupun walau ia dilantik oleh Warisan,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sabah di Grand Ballroom Kudat Golf & Marina Resort, pada Jumaat.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah , Datuk Ir Shahelmey Yahya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong dan ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari.
Menurut Hajiji, isu air yang melanda negeri ini juga berpunca daripada tindakan kerajaan Warisan sebelum ini menamatkan lapan syarikat konsesi air menyebabkan kerajaan GRS terpaksa membayar pampasan RM315 juta kepada syarikat terbabit selepas perkara itu dibawa ke mahkamah.
“Sekarang kerajaan GRS yang bertanggungjawab memperuntukkan RM300 juta untuk naik taraf loji air manakala RM380 juta menaik taraf loji air Kogopon Papar dari 40 juta liter sehari (JLS) ke 80 JLS dan akan siap tahun depan.
“Di Tawau dan tempat lain juga kita bagi peruntukan untuk atasi masalah air, jadi ini rakyat mesti tahu, jangan dengar di media sosial kata GRS gagal, air tiada, jalan berlubang dengan muka Hajiji keluar di sana,” tegasnya.
Hajiji berkata, perkara yang sama berlaku terhadap Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang mengalami kelewatan lebih empat tahun selepas syarikat konsultan untuk projek itu dihentikan ketika kerajaan Warisan berkuasa.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah supaya menjadikan Pilihan Raya Ke-17 (PRN17) Sabah sebagai peluang keemasan untuk mengekalkan kerajaan GRS-Pakatan Harapan (PH) yang dipimpinnya.
“Jangan sia-siakan peluang ini, kalau kerajaan itu tolong rakyat terutama yang miskin, yang di bawah, pelajar dan sebagainya, angkat ekonomi, industri kita, kenapa kita mesti tolak pada pilihan raya nanti.
“Saya harap rakyat kita kali ini bagilah kepercayaan kepada calon GRS yang kita letak di mana saja.
“Insya-Allah kita akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya nanti, percayalah,” katanya.




