
KOTA KINABALU – Isu kesalahan mengibarkan Jalur Gemilang sepatutnya tidak perlu diperbesarkan tetapi perlu melihat kepada usaha dan semangat di sebaliknya, kata Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Jelasnya, sebagai manusia kesilapan tidak dapat dielakkan namun yang penting adalah semangat cintakan negara dan keberanian untuk menyertai kempen kibarkan bendera.
“Manusia tidak sempurna. Kadang-kadang kita buat kesilapan tetapi kita perlu melihat gambaran yang lebih besar iaitu semangat mereka untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
“Kesilapan itu boleh diperbetulkan, jangan sampai jadi isu besar,” katanya kepada media ketika diminta mengulas kejadian yang berlaku di Semenanjung Malaysia pada baru ini-ini.

Beliau turut berkata kesilapan mengibarkan bendera juga pernah berlaku di negara lain walaupun selepas beratus tahun kemerdekaan.
“Saya telah lihat di Amerika Syarikat selepas lebih 200 tahun merdeka masih ada rakyatnya tersalah kibarkan bendera. Jadi, ini lumrah manusia. Kadang-kadang kita melakukan kesilapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sidang media khas Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah 2025 Peringkat Negeri Sabah di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Masidi berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melancarkan kempen kibarkan Jalur Gemilang sejak 1 Ogos lalu.
“Saya dapat lihat banyak premis yang memasang bendera dan masih belum lambat lagi untuk berbuat demikian.
“Kita galakkan untuk memasang bendera sepanjang bulan kemerdekaan sebagai tanda simbol rasa cinta dan sayang kita pada negeri kita dan juga pada Malaysia,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pelbagai aktiviti menyemarakkan bulan kemerdekaan di peringkat daerah dan negeri.
“Kita juga ada Konvoi Kembara Jalur gemilang Jabatan Penerangan Malaysia yang berhasrat untuk menyampaikan mesej yang sama agar semua rakyat di Malaysia dapat menyemarakkan sambutan kita pada tahun ini,” ujarnya.







