KEDAH sebuah negeri yang kaya dengan sejarah, tanah subur dan rakyat yang tabah kini berhadapan satu lagi realiti pahit.
Kegagalan demi kegagalan dalam pelaksanaan projek mega yang dijanjikan.
Di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor rakyat dijanjikan dengan pelbagai projek raksasa yang kononnya akan mengubah taraf hidup rakyat melalui landskap ekonomi negeri.
Namun hari ini, janji itu hanya tinggal angan-angan yang terbang bersama kabus pagi Gunung Jerai.
Apabila ditanya kenapa gagal dan jawapan yang pernah diberinya beliau hanya tolong membaca sahaja.
Projek Langkasuka, Rubber City, Pelabuhan Sanglang, litar lumba dan sebuah stadium bertaraf JDT semuanya gah di atas kertas sahaja.
Beberapa hari lalu rakyat Kedah sekali lagi menerima berita mendukacitakan apabila pelabur dari Korea Selatan turut menarik diri dalam projek keretapi laju yang akan dibina di Langkawi.
Kini tiada satu pun menampakkan hasil yang boleh dibanggakan rakyat Kedah.
Apa yang menyedihkan kini ramai anak muda terpaksa berhijrah ke negeri jiran untuk mencari sesuap nasi bagi keluarga mereka.
Apa sudah berlaku? Kesemuanya berakhir di peringkat perancangan atau sekadar pengumuman politik.
Tiada pelaburan kukuh, tiada pembinaan dimulakan dan tiada peluang pekerjaan dicipta.
Projek mega ini menjadi simbol kepada satu budaya politik yang gopoh, penuh retorik dan jauh dari keperluan rakyat.
Rakyat Kedah sebelum ini mengharap Sanusi berperanan seperti mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang banyak menabur jasa kepada anak negeri.
Akhirnya harapan tinggal harapan dan kini rakyat Kedah sudah mula kecewa seperti apa yang dijanjikan sebelum ini pada pilihan raya lalu.
Sanusi lebih dikenali dengan gaya politiknya yang lantang dan sering menimbulkan kontroversi. Namun di sebalik lontaran retorik itu, pembangunan Kedah masih terbelenggu.
Sikap konfrontasi berterusan terhadap Kerajaan Persekutuan tidak membantu, malah menjejaskan hubungan yang penting untuk mendapatkan pelaburan dan bantuan pembangunan.
Ini bukan soal politik partisan tetapi ini soal masa depan rakyat.
Bila projek gagal, yang menanggung akibat ialah generasi muda yang tamat pengajian dan mendambakan pekerjaan. Ekonomi lembab juga turut memberi kesan kepada penduduk.
Ramai yang pernah memberi undi kepada Pas kini kecewa kerana peluang yang dijanjikan tidak menjadi kenyataan. Bahkan bukan sahaja ekonomi, bola sepak yang dibanggakan oleh anak muda Kedah juga turut hancur dek Sanusi.
Cukuplah dengan politik syok sendiri yang riuh sekampung tetapi habuk pun tak ada…demikian keluhan masyarakat Kedah hari ini.
Rakyat Kedah tidak perlukan pemimpin yang hanya pandai berpidato di atas pentas. Rakyat perlukan pemimpin yang tahu merancang, berunding, melaksana dan memastikan hasil pembangunan sampai ke akar umbi.
Kedah perlukan pemimpin yang sanggup bekerjasama demi rakyat, bukan yang hanya pandai berkonflik atas nama prinsip politik.
Kini sudah sampai masanya rakyat Kedah membuka mata dan menilai semula kepimpinan yang ada.
Tidak cukup hanya dengan slogan dan janji masa depan negeri ini serta memikat pengundi dengan menjual nama Islam demi kuasa.
Sebagai rakyat, kita perlu berhak menuntut kebertanggungjawaban . Kita berhak bertanya ke mana hilangnya projek yang dijanjikan itu? Mengapa pelabur pada awalnya berjanji untuk melabur akhirnya menarik diri?
Jika rakyat tidak bangkit hari ini penulis yakin masa depan generasi akan datang pasti kabur dan lebih ramai terus berhijrah kerana mendapat pemimpin yang gagal untuk mentadbir seperti diharapkan.
Kedah bukan negeri miskin. Kedah bukan negeri gagal. Tetapi dengan kepimpinan yang salah, potensi yang besar boleh berubah menjadi kekecewaan yang panjang.
Justeru, sudah sampai masanya rakyat Kedah bangkit, bersuara dan menuntut perubahan.
Masa depan tidak akan berubah jika kita terus berdiam dengan memegang harapan yang tidak pasti.







