PERIKATAN Nasional (PN) kini tampil lebih agresif dalam percaturan politik tanah air dengan langkah menggabungkan 12 parti di bawah satu payung.
Usaha ini jelas menunjukkan kesungguhan PN untuk membina kekuatan baharu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Namun, timbul persoalan adakah gabungan ini mampu benar-benar mencabar dominasi Kerajaan Perpaduan yang kini diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)?
PN kini kian terdesak kerana gabungan PH dan BN bukan sahaja melakar kemenangan malah mendapat majoriti undi yang sangat membanggakan.
Bagi mengatasi masalah itu berlarutan PN kini telah menjemput beberapa parti kecil untuk berada di bawah naungannya bagi menghadapi pilhan raya akan datang.
Penggabungan 12 parti dalam PN termasuk komponen utama Pas dan Bersatu serta parti-parti kecil lain dilihat sebagai satu langkah strategi untuk memperkukuhkan saf pembangkang.
Langkah ini bukan sahaja bertujuan menampilkan imej kesatuan tetapi juga dilihat sebagai usaha menyusun semula kekuatan pembangkang secara lebih tersusun pada pilihan raya nanti.
Pas kekal sebagai tunjang terkuat dalam PN khususnya selepas kejayaan besar di Pantai Timur dan kalangan pengundi Melayu luar bandar hingga Pas menjadi aset utama PN dari segi jentera dan sokongan akar umbi.
Namun, wujud juga kegusaran mengenai keseimbangan kuasa antara Pas dan Bersatu.
Dominasi Pas dalam beberapa keputusan strategi dikatakan menimbulkan ketegangan dalaman dan jika tidak diurus dengan baik , boleh menggangu kestabilan gabungan tersebut.
Kerjasama PH dan BN yang sebelum ini dilihat janggal oleh ahli masing-masing, kini semakin stabil dan dapat diterima terutamanya ahli totok dari kedua-dua gabungan itu.
Ini jelas dengan kerjasama dari kalangan ahli berkenaan pada pilihan raya lalu hingga membuahkan hasil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menyatukan gabungan yang dahulunya bermusuhan sejak ‘dilahirkan’ kini di bawah satu matlamat iaitu kestabilan negara.
Namun demikian, isu-isu seperti kos sara hidup, tekanan ekonomi dan persepsi rakyat terhadap prestasi kerajaan boleh menjadi faktor utama yang menentukan arah sokongan dalam pilihan raya akan datang.
Jika sentimen rakyat berubah, PN boleh mengambil kesempatan daripada gelombang ketidakpuasan tersebut.
Walaupun kekuatan PN di Semenanjung meningkat dengan gelombang hijau pada PRU15, cabaran terbesar mereka adalah untuk menembusi Sabah dan Sarawak , yang masih kurang mendapat sambutan dari gabungan itu.
Tambahan pula, gabungan parti-kecil tidak semestinya menjamin kekuatan sebenar jika tidak disertai dengan kesepakatan, kepimpinan yang diyakini dan tawaran dasar yang meyakinkan pengundi.
PN dengan gabungan 12 parti, kini muncul sebagai pencabar paling serius kepada Kerajaan Perpaduan.
Dengan gabungan dari pelbagai parti dan kaum PN kini sudah mampu melangkaui naratif agama, dan kaum walaupun kita tidak tahu sejauh mana keberkesanannya ikatan perpaduan mereka.
Bagaimanapun mereka harus membuktikan gabungan mereka itu tidak longgar dan mampu memimpin negara secara inklusif dan berdaya saingdalam cabaran global masa kini.
Apatah lagi jika pada masa sama Pemuda UMNO dan DAPSY terus berbalah sesama sendiri, ia boleh menjejaskan imej Kerajaan Perpaduan .
Perbalahan seperti ini sudah pasti memberi imej yang buruk dan boleh menggugat keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan jika tidak dapat diselesaikan dengan bijak.
Jika masalah ini tidak dapat diselesaikan rakyat mungkin kecewa dengan perbalahan itu dan pasti pengundi akan beralih sokongan kepada gabungan pembangkang pimpinan Muhyiddin.
Soal sama ada mereka mampu menang pilihan raya bukan hanya bergantung kepada bilangan parti dalam gabungan, tetapi juga pada kemampuan membina keyakinan seluruh rakyat Malaysia bermula dari Perlis hinggalah ke Sabah.







